Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bercakap kepada media selepas Sambutan Hari Pembantu Perawatan Kesihatan di Hospital Sungai Buloh, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 03 NOVEMBER 2022.

SUNGAI BULOH – Seramai 1,085 pembantu perawatan kesihatan (PPK) bakal menerima pelantikan jawatan tetap menjelang Januari 2023.

Itu yang diumumkan Menteri Kesihatan, Khariy Jamaluddin.

Pada ketika ini, beliau berkata, sebanyak 2,456 kekosongan jawatan PPK yang perlu diisi di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Tambah Khairy, pelantikan jawatan itu turut memberi peluang kepada PPK MyStep yang berstatus kontrak.

“Kita akan sahkan dan hantar untuk posting pada bulan Januari tahun depan dan baki kekosongan PPK seterusnya akan dilaksanakan pada suku kedua 2023.

“Mereka yang bekerja sebagai PPK My Step dengan status kontrak sekarang ini akan diberi peluang untuk diserap sebagai PPK tetap,” katanya.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (tengah) beramah mesra bersama sebahagian warga Hospital Sungai Buloh pada Sambutan Hari Pembantu Perawatan Kesihatan di Hospital Sungai Buloh, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 03 NOVEMBER 2022.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Pembantu Perawatan Kesihatan Hospital Sungai Buloh hari ini.

Short-Term Employment Programme (MySTEP) membuka peluang pekerjaan jangka pendek di sektor awam, agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) secara kontrak.

Seperti diumumkan dalam Belanjawan 2021, MySTEP merupakan inisiatif Kerajaan bernilai RM700 juta yang membuka 50,000 peluang pekerjaan jangka pendek (kontrak) di pelbagai kementerian, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Selain itu berhubung urusan pemangkuan dan kenaikan pangkat membabitkan PPK, Khairy yang juga calon kerusi Parlimen Sungai Buloh berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan perkara itu dari semasa ke semasa.

“Urusan pemangkuan PPK ke gred U16 telah dilaksanakan pada Oktober, iaitu seramai 21 PPK gred 14 diberi pemangkuan dan 114 PPK akan ditawarkan ke pemangkuan gred U14 pada Januari 2023,” ujarnya.

Sementara itu, isu berkaitan gaji PPK pula, Khairy berkata, perkara berkenaan juga akan dipertimbangkan pada masa akan datang.

Beliau turut memaklumkan, bagi kemasukan untuk masa terdekat, 100 calon PPK pula akan menerima tawaran pelantikan jawatan pada 5 Disember ini.

Beliau berkata, pelantikan jawatan berkenaan sedikit sebanyak dapat meringankan beban doktor dan jururawat yang dibebani dengan pelbagai tugasan.

“Jawatan PPK mula diwujudkan pada tahun 60-an dan dahulu kalanya dikenalinya sebagai amah atau atendan dan tugas mereka merangkumi menolong menjalankan kerja asas berkenaan penjagaan pesakit, penyediaan peralatan dan merekod data pesakit.

“Dengan adanya PPK, ia sedikit sebanyak dapat membantu petugas lain seperti doktor dan jururawat ini memandang mereka serakang banyak tugasan yang perlu dipikul,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast