Akujanji palsu yang disebarkan di media sosial

IPOH – Pengerusi Barisan Nasional (BN) menyindir pihak lawan yang menyebarkan surat aku janji palsu yang kononnya terpaksa ditandatangani oleh calon-calon BN bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut , Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, BN bukan seperti parti lawan yang akan menggugurkan kes pemimpin mereka sebaik sahaja berkuasa.

Beliau yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk berkata, penyebaran fitnah tersebut menunjukkan parti lawan dalam keadaan bimbang dan takut kepada bayang-bayang sendiri.

“Mereka fikir BN macam mereka agaknya sejurus menang PRU14 dan jadi kerajaan terus menggugurkan kes-kes mahkamah melibatkan pemimpin mereka.

“Kemudian menzalimi pemimpin-pemimpin BN yang setia mempertahankan parti dan `membelai’ yang tunduk serta patuh kepada tuntutan mereka.

“Sebab itu kita percaya lawan BN sedang takutkan bayang-bayang sendiri. Cemas kerana overthinking selepas apa mereka lakukan. Bimbang what you give you get back,” kata Ahmad Zahid.

Semalam tersebar surat aku janji yang kononnya ditandatangani oleh Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.

Menerusi surat aku janji tersebut kononnya calon BN bagi PRU15  antara lain disyaratkan bersetuju memberi jawatan Kabinet utama kepada wakil BN dan UMNO sebagaimana diarahkan  Ahmad Zahid.

Selain itu, calon juga perlu bersetuju menggugurkan kes-kes mahkamah yang melibatkan kepimpinan UMNO dan BN.

“Hentikanlah politik menipu dan merapu seperti ini. Dulu mungkin mudah untuk mereka membohongi dan memperdaya rakyat dengan taktik sebegini.

“Hari ini rakyat Malaysia adalah masyarakat yang rasional dan mudah memahami antara kebenaran dan kebatilan. Tidak sukar mereka `membaca’ pembohongan itu,” kata Ahmad Zahid dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid berkata, penyebaran fitnah terbaru terhadap BN itu menjadi bukti jelas dan kukuh untuk rakyat menolak parti lawan dan memastikan mereka tidak menang dan menjadi kerajaan semula.

Rakyat kata beliau, tidak seharusnya membenarkan negara ditadbir oleh kerajaan yang ditubuhkan atas dasar fitnah dan penipuan.

Ini kerana hampir pasti rakyat juga akan sekali lagi difitnah dan dibohongi.

“Seperti mana rakyat Malaysia difitnah pemalas dan cemburu kepada orang kaya. Seperti mana rakyat dibohongi dengan pelbagai janji-janji manis pada PRU14.

“Yakini BN dan undi BN demi Malaysia memperoleh semula sebuah kerajaan yang benar-benar berkhidmat serta membawa kestabilan dan kemakmuran negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast