Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak akan menoleh ke belakang lagi dalam usaha membawa wadah besar untuk mengembalikan kestabilan dan kemakmuran negara.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu akan terus mara dan fokus ke hadapan bersama semangat serta keazaman untuk menggamit kebangkitan mutlak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Ayuh, usah toleh ke belakang lagi, kerana kita sedang membawa wadah besar BN untuk mengembalikan kestabilan dan kemakmuran. Itulah janji BN kepada rakyat dan negara.

“Kibarkan panji biru yang sebenar-benarnya memayungi kesejahteraan Malaysia sejak sekian lama. Biru ‘original’ yang terbukti berwibawa dan berkemampuan.

“Hala tuju BN telah pun ditetapkan dan kita tinggal selangkah untuk memastikan harapan murni dan luhur itu menjadi kenyataan pada 19 November ini,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Beliau mengingatkan kepada barisan kepimpinan, ahli, pengikut dan penyokong bahawa perjuangan BN bukan saja mengenai masa sekarang, tetapi jauh lebih penting adalah mengenai masa depan negara demi generasi akan datang.

Katanya, ia juga bukan untuk kepentingan mana-mana individu masa kini, sebaliknya kepentingan rakyat dan jutaan ahlinya yang setia, jujur dan ikhlas di sisi parti.

“Pemimpin datang dan pergi, tetapi BN Insya-Allah akan terus berada di persada tanah air di setiap masa dan tempat bagi melindungi Malaysia serta masyarakatnya.

“Justeru, nilai dan jati diri gabungan politik ini tidak sesekali boleh tersasar daripada asas yang terbentuk dalam sejarah panjang perjuangannya untuk tanah air.

“Ini hanya dapat dipertahankan dengan barisan kepimpinan dan ahli akar umbi yang tahu dan memahami asas serta aspirasi perjuangan tersebut,” ujar beliau.

Menurut Ahmad Zahid, BN sedang mengorak langkah mempersiapkan pelapis muda yang akan mewarisi kepimpinan gabungan politik milik rakyat ini pada masa depan.

“Kita sedang membentuk sebuah kepimpinan muda yang setia dan sanggup berjuang serta mempertahankan asas BN untuk rakyat dalam apa keadaaan sekali pun.

“Melalui sinergi meletakkan gandingan yang membimbing dan dibimbing bagi memastikan keseimbangan sentiasa wujud antara pengalaman dan pengetahuan.

“Kepada rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik kita berharap berilah keyakinan kepada BN. Inilah gabungan politik yang benar-benar terbukti berdaya dan berjasa,” ujarnya.

Katanya, selama berpuluh tahun Malaysia menikmati kemakmuran dan kestabilan sebelum runtuh gara-gara fitnah dan janji palsu, apakah rakyat tidak merindui kesejahteraan itu.

Beliau mahu rakyat sematkan dalam fikiran, tetapkan dalam sanubari bahawa lambang dacing jadi pilihan semasa keluar mengundi walau apa sentimen politik pada diri.

“PRU15 adalah mengenai masa depan negara dan lebih penting adalah mengenai masa depan generasi akan datang.

“Inilah peluang dan harapan terbaik untuk mengembalikan kestabilan dan kemakmuran di bumi Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast