Mangsa banjir yang dipindahkan di PPS SK Lubuk Kulit Padang Tengku, Lipis.

KUANTAN – Seramai 19 mangsa daripada enam buah keluarga dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Kulit, Padang Tengku, Kuala Lipis akibat hujan berterusan lebih dari lima jam menyebabkan banjir kilat berlaku hari ini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, hujan berterusan bermula 11 malam tadi sehingga pukul 4 pagi menyebabkan berlaku bencana banjir kilat di beberapa penempatan di Padang Tengku.

“Ia berlaku akibat daripada limpahan Sungai Telang dan PPS yang pertama telah dibuka.

“Air Sungai Jelai Kuala Medang menunjukkan  bacaan paras air peringkat waspada iaitu 82.06 meter dan trend menaik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Azli, fenomena paras air sungai meningkat berlaku di Sungai Kechau, Kampung Dusun dan Sungai Jelai Bukit Betong.

Juteru katanya pasukan penyelamat pelbagai agensi di bawah koordinasi polis diletakkan dalam keadaan siapsiaga.

Sementara itu, di Raub sebanyak tiga kawasan penempatan di Kampung Batu Talam, Kampung Ulu Atok dan Kampung Jenud juga dilanda banjir kilat pukul 2 pagi tadi.

Seramai 64 mangsa daripada 14 buah rumah dilaporkan telah dpindahkan di dua buah PPS iaitu di Balai Raya Batu Talam dan SK Kampung Ulu Atok.

Pihak Angkatan Pertahanan Awam Pahang telah bergerak ke lokasi kejadian bagi membantu  mangsa banjir dan membuat kerja-kerja pemasangan kubikal di PPS. – MalaysiaGazette