JOHOR BAHRU – Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad memberi jaminan Datuk Seri Adham Baba dan Datuk Halimah Mohamed Saddique akan terus menyokong calon baharu ditampilkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Dr Adham dan Halimah merupakan penyandang kerusi Tenggara dan Kota Tinggi digugurkan daripada senarai calon BN kali ini.
“Berikan mereka (Dr Adham dan Halimah) masa. Saya yakin sehari dua lagi selepas ini mereka akan kembali menyokong dan memperkuat jentera parti semula.
“Sama ada Dr. Adham dan Halimah, mereka sudah menyatakan dan memberi jaminan jentera di kawasan masing-masing akan berjalan dan beroperasi seperti biasa ketika saya menghubungi mereka kelmarin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pengenalan 26 calon BN Johor di Pejabat Perhubungan UMNO hari ini.
Turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga calon BN di Parlimen Kota Tinggi dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga calon BN di Pontian.
Terdahulu Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebaliknya mengumumkan Mohamed Khaled yang membuat penampilan semula sebagai calon di Kota Tinggi menggantikan Halimah.
BN turut meletakkan calon muka baharu di Tenggara iaitu Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Tenggara, Mandzri Nasib bagi menggantikan Dr Adham. – MalaysiaGazette