Datuk Seri Sh Mohmed Fuzi Sh Ali

PEKAN – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Pekan, Datuk Seri Sh Mohmed Fuzi Sh Ali menyifatkan pencalonannya di kerusi legasi dua bekas perdana menteri sebagai satu amanah yang perlu digalas dengan baik.

Sebagai penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu Jaya selama dua penggal sebelum ini, beliau yakin pengalaman menabur khidmat kepada rakyat setempat merupakan track record terbaik yang boleh ditunjukkan kepada warga Pekan.

“Sejujurnya saya nak beritahu, saya bukan orang baru di Pekan. Apa yang penting, saya telah menimba banyak pengalaman di Pekan.

“Saya juga pernah berkhidmat dengan mantan PM selama dua penggal atau 10 tahun untuk mengendalikan Parlimen Pekan,” katanya.

Berbekalkan asas dan acuan perjuangan yang telah diterapkan penyandang kerusi Pekan, Datuk Seri Najib Razak kepadanya sebelum ini, beliau akan menjadikannya panduan untuk menghadapi pilihan raya kali ini.

Disebabkan itu, Sh Mohmed Fuzi juga mengakui tidak janggal untuk melaksanakan segala kerja-kerja untuk rakyat.

“Jadi bagi saya, persediaan ini adalah biasa. Cuma apa yang saya ingin laksanakan nanti adalah berdasarkan acuan yang telah dibentuk dan saya yakin acuan yang dibentuk ini dapat membuahkan hasil yang terbaik untuk rakyat dan khususnya pengundi di Pekan,” ulasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Peramu Jaya di sini hari ini.

Sebagai rekod, Sh Mohmed Fuzi dipilih sebagai calon BN Parlimen Pekan bagi PRU kali ini sekaligus menjadikan beliau sebagai calon pertama BN yang bukan daripada keluarga Najib dalam tempoh 63 tahun di Pekan.

Manakala DUN disandangnya ketika ini diserahkan kepada anak Najib, Datuk Mohd Nizar.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast