KUALA LUMPUR – Bekas penyandang Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil tidak boleh berasa selesa dalam pertandingan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana calon lawan bukan calang-calang.
Kalau pada PRU14, Ketua Pengarah Komunikasi PKR itu menang majoriti 5,598 mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, kali ini beliau akan berdepan dengan anak tempatan dari Putra.
Dr. Asmah, 38, dipilih oleh Putra dan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk bertanding di Lembah Pantai kerana beliau lebih dekat dan memahami kehidupan penduduk di kawasan berkenaan.
Sebagai seorang doktor perubatan lulusan Ijazah Perubatan Doctor of Medicine dari UCSI University, Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra itu menghabiskan sebahagian daripada usianya dalam aktiviti kemasyarakatan di Lembah Klang dan sekitar Kuala Lumpur.
Ini sesuai dengan latar belakang ibu kepada empat cahaya mata itu yang bukan sekadar doktor perubatan tetapi turut terlibat dalam politik, sukarelawan, pakar motivasi, konsultan kesihatan dan kecergasan serta pengasas program kesihatan mental swasta.
“Saya dibesarkan di Lembah Pantai, Kuala Lumpur dan amat memahami kehidupan masyarakat setempat di sini dari golongan B40, M40 dan T20.
“Mereka ini amat memerlukan perhatian daripada wakil rakyat, tetapi malangnya, mereka sentiasa dijanjikan perkara yang tidak dapat ditunaikan terutama ketika Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan selama 22 bulan.
“Justeru, pada PRU15 ini, rakyat Lembah Pantai berjanji akan membuat perubahan. Mereka benar-benar memerlukan seorang wakil rakyat yang dapat memberi perhatian sepenuhnya kepada kebajikan dan permasalahan yang dihadapi,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Bekas Ketua Wirawati Putra itu menjelaskan, beliau pernah berkhidmat bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan memberikan sumbangan terbesar ketika negara dilanda wabak Covid-19.
Katanya, beliau mengendalikan beberapa pusat mega vaksin negara sebagai Pengurus HCO hospital swasta dan membantu Malaysia membentuk HERD Immunity.
“Dalam politik, saya memilih menyertai parti Putra ketika di awal penubuhannya dan antara salah seorang pengasas bersama Presiden, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali.
“Saya berjanji, jika dipilih pada 19 November ini, saya akan memastikan pentadbiran yang telus dan adil untuk semua masyarakat, di samping akan melakukan penambahbaikan fasiliti serta akses kesihatan kepada mereka yang memerlukan.
“Saya juga akan memperjuangkan memastikan biasiswa penuh dikembalikan dan memberi pendidikan terbaik dengan memperjuangkan kuota Universiti Malaysia (UM) untuk anak Lembah Pantai khasnya,” ujarnya.
Katanya, beliau juga akan menghapuskan jarak kemiskinan dan isu kos sara hidup yang ketara antara B40 dan T20 terutama di Lembah Pantai.
Di samping itu, akan memastikan penduduk dapat memiliki rumah mampu milik yang sepatutnya dimiliki oleh Bumiputera dan rakyat Malaysia khususnya.
Mengenai manifesto Putra, Dr. Asmah berkata, ia akan diumumkan oleh Ibrahim selepas penamaan calon pada 5 November ini.
“Yang pasti kita akan menumpukan kepada pembangunan teraju ekonomi seperti menghapuskan jurang miskin B40, T20, pendidikan dan kesihatan dari rakyat untuk rakyat.
“Kita akan menambahbaikan fasiliti serta akses kesihatan seperti klinik dan hospital Lembah Pantai kepada rakyat termasuk pemansuhan kadar bankrupsi dan senarai hitam di kalangan belia Malaysia menerusi program Sayang Belia Malaysia,” katanya.
Selain dibesarkan di Lembah Pantai, ADT Putra ini seorang yang mudah didekati, di samping berani menyuarakan masalah rakyat serta isu dan hak wanita, bumiputera serta antarabangsa dan disenangi masyarakat.
Beliau mendapat pendidikan pengucapan awam serta diasah sebagai pengacara televiseyen sejak kecil bersama sebuah stesen television swasta pertama Malaysia di Jalan Liku, Bangsar.
Latar belakang pendidikannya ialah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri sebelum menyambung pengajian di Canadian International Matriculation (Honor Roll in Science) Sunway Universiti menerusi Program berkembar Canada dan Malaysia.
Antara kerjayanya ialah latihan doktor perubatan di Hospital Orang Asli Gombak dan Hospital Sultanah Nur Zahirah Terengganu, Doktor Siswazah di Hospital Ampang, Doktor Kesihatan dan kecergasan di Az Zahra Wellness (Az Zahra Hospital) Bangi.
Beliau juga seorang konsultan kesihatan dan kecergasan di Hospital Naluri, Wangsa Maju, pegawai PPVAS Program Covid-19 Kebangsaan Mega Stadium Bukit Jalil dan Axiata Arena bersama Protect Health dan KKM iaitu program vaksinasi lebih 1 juta rakyat Malaysia.
Selain itu, beliau adalah konsultan Vaksinasi Program Covid-19 PPVAS Klinik Hasmah, Pengarah Wellness Holistic (konsultansi perkhidmatan kesihatan swasta) dan pengasas serta penasihat program kesihatan mental swasta untuk komuniti dan organisasi.
Dr. Asmah juga penulis kolum kesihatan untuk majalah berkaitan wanita, selain pakar motivasi jemputan radio dan siaran televisyen arus perdana dan sukarelawan seumur hidup Mercy Malaysia.
Anugerah yang pernah diterimanya ialah Tokoh Kajian Jurusan Fakulti Sastera di salah sebuah IPTA di Malaysia. – MalaysiaGazette