Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam telah mensabitkan bekas pengarah Silver Bird Group Berhad (Silver Bird) bagi kesalahan membenarkan pemberian pernyataan yang palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad, yang merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 369(b)(B) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

Pengasas dan bekas Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Jackson Tan Han Kook dan bekas Pengarah Eksekutif Silver Bird Derec Ching Siew Cheong masing-masing mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan.

Suruhanjaya Sekuriti berkata, kedua-duanya dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda sebanyak RM500,000 setiap seorang (jika gagal membayar denda, akan dikenakan penjara selama 50 bulan)/

Kedua-dua Tan dan Ching telah dituduh pada 11 September 2013 masing-masing dengan tujuh dan lapan pertuduhan kerana memberi pernyataan palsu yang terkandung dalam keputusan kewangan suku tahunan Silver Bird yang belum diaudit untuk tempoh kewangan berakhir 31 Oktober 2010 dan 31 Oktober 2011 kepada bursa saham.

Hakim Mahkamah Sesyen Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman tersebut setelah memberi pertimbangan terhadap kesemua pertuduhan yang lain, berikutan permohonan Tan dan Ching untuk tawaran pengakuan di bawah seksyen 172C Kanun Tatacara Jenayah. – MalaysiaGazette