Foto Instagram Rozita Che Wan.

KUALA LUMPUR – Pelakon dan usahawan popular, Rozita Che Wan kesal apabila wajah dan namanya digunakan untuk tujuan mempromosi produk kurus dan menipu pelanggan di media sosial.

“Minta perhatian. Saya tak pernah minum jus ‘beruk’ ini untuk kurus. Jus kalian tak laku, sampai terpaksa menipu dan guna gambar saya,” tulis di Instagram miliknya.

Rozita atau mesra disapa Che Ta berkata, dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak dan syarikat berkenaan.

“Apa yang mereka lakukan ini sangat melampau. Saya tidak pernah ditemubual untuk bercakap mengenai produk kurus tetapi video itu diambil ketika saya bercerita mengenai produk saya sendiri tetapi disunting pihak lain bagi mempromosikan produk mereka.
“Saya akan memberi tempoh beberapa hari ini untuk pihak itu menurunkan gambar dan nama saya. Sekiranya gagal saya akan ambil tindakan tegas dengan membuat laporan polis. Kalau bagi muka mereka akan naik lemak untuk menipu lebih ramai pembeli,” katanya.
Menurut Che Ta, promosi yang dibuat produk terbabit dilihat berjaya mempengaruhi beberapa kenalannya termasuk peminat yang menghantar mesej peribadi di Instagram.

“Sebelum ini ada kenalan yang sudah membeli produk terbabit. Kemudian dia memaklumkan kepada saya sedangkan saya tidak pernah mewakili produk itu.

“Pihak mereka juga sudah menggunakan gambar dan nama saya hampir lima bulan sehingga ramai yang menghantar mesej untuk meminta kesahihan mengenai produk itu.

“Saya sangat kesal perkara ini masih berlaku. Tak sangka mereka cari makan dengan cara keji seperti ini,” katanya kepada Harian Metro. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast