Musa Sheikh Fadzir

TELUK KUMBAR – Kad laporan prestasi akan dibuat setiap tiga bulan terhadap Ahli Parlimen yang menang atas tiket Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang.

Pengerusinya, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, ia bagi memastikan semua wakil rakyat parti itu menjalankan tanggungjawab seperti yang dijanjikan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Kita akan buat kad laporan prestasi ahli-ahli Parlimen BN Pulau Pinang yang menang pada PRU15 ini untuk kita pantau sama ada mereka menyantuni rakyat di kawasan mereka atau sebaliknya.

“Ini adalah inisiatif baru BN negeri, siapa yang menang dia kena bertanggungjawab dan berbakti. Bukan bakti pada parti dia saja tapi masyarakat seluruhnya.

“Kita tak mahu kalau menang kerja dia pentingkan diri atau lompat parti. Ini kita tidak mahu berlaku,” katanya pada majlis penyerahan watikah kepada 13 calon yang akan mewakili BN pada PRU15 di sini, hari ini.

BN Pulau Pinang membariskan 13 calon Parlimen membabitkan empat dari UMNO iaitu Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di kerusi Parlimen Kepala Batas, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said (Permatang Pauh), Datuk Yusoff Mohd Noor (Tasek Gelugor) dan Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah (Balik Pulau).

Lima calon mewakili MCA, Dr Tan Chuan Hong (Bagan), Tan Yang Pang (Bukit Mertajam) dan Datuk Tan Lee Huat (Batu Kawan), Tan Kim Nee dari MCA (Tanjong), Wong Chin Chong (Bukit Gelugor) dan Saw Yee Fung (Bayan Baru).

Manakala tiga lagi, Datuk Seri R. Thanenthiran dari Makkal Sakti (Nibong Tebal), Huan Xin Yun dari Parti Cinta Malaysia (Bukit Gelugor), Datuk T Loganathan dari Indian Progressive Front (Jelutong).

Dalam perkembangan lain, Musa menafikan wujud surat aku janji yang inti patinya menggesa calon parti itu memberi sokongan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon Perdana Menteri.

“Tak betul, saya nak beritahu tidak ada perjanjian yang katakan calon-calon Parlimen datang sokong Datuk Seri Zahid jadi perdana menteri sebab daripada awal Datuk Seri Ismail Sabri dipilih untuk jawatan itu.

“Jadi ini adalah satu fitnah yang nak pecah belahkan kita, InsyaAllah rakyat boleh nilainya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast