Dr. Mohd Radzi Md Jidin

KUALA LUMPUR – Kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi murid sekolah di seluruh Malaysia akan dinaikkan berkuat kuasa 6 November ini.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, kadar RMT bagi seorang murid dinaikkan daripada RM2.50 kepada RM3.50 untuk Semenanjung, manakala RM3 kepada RM4 bagi Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.

“Alhamdulillah, usaha KPM untuk menaikkan kadar RMT dapat dilaksanakan pada tahun ini.

“Pelaksanaan kadar baharu ini memanfaatkan seramai 791,477 orang murid penerima RMT di seluruh negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Radzi, usaha tersebut merupakan antara komitmen beliau dalam memastikan kualiti makanan RMT kepada murid yang memerlukan adalah terjaga.

Katanya, pelaksanaan kadar baharu tersebut juga pasti akan memberi kelegaan kepada pengusaha kantin sekolah yang menyediakan RMT.

“KPM komited melakukan yang terbaik untuk kelestarian pendidikan anak-anak generasi pewaris negara,” tambahnya. – MalaysiaGazette