Seorang lelaki parah terjatuh ke dalam cerun 30 kaki selepas keretanya terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Bangi Avenue semalam. - Gambar ihsan Bomba Selangor.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki cedera parah selepas  tercampak di cerun sedalam 30 kaki apabila kereta yang dipandunya terbabas dan melanggar pembahagi jalan dalam satu kemalangan di Bangi Avenue, Bangi dekat sini semalam.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan awam yang memaklumkan mengenai kemalangan pukul 8.52 pagi.

“Bertindak atas panggilan kecemasan itu, jentera bomba dengan kekuatan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bangi telah dikerah ke lokasi kejadian itu.

Seorang lelaki tempatan parah terjatuh ke dalam cerun 30 kaki selepas keretanya terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Bangi Avenue, pagi semalam. Gambar ihsan Bomba Selangor

“Pemerhatian pasukan di lokasi pukul 9 pagi mendapati kemalangan berlaku membabitkan sebuah kereta jenis Nissan Cefiro dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan di Jalan Bangi Avenue.

“Akibat perlanggaran kuat itu, pemandu kenderaan telah tercampak keluar dan terjatuh ke dalam cerun kedalaman 30 kaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Norazam, pemeriksaan lanjut mendapati mangsa telah mengalami parah akibat terjatuh dalam cerun.

“Mangsa dikenal pasti sebagai lelaki warga tempatan berusia 24 tahun. Anggota kami berjaya membawa naik mangsa parah sebelum diserahkan kepada pihak pegawai Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette