Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien (kanan) diiringi Pengerusi Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA), Jeneral (B) Tan Sri Abdul Aziz Zainal (kiri) barangan yang terdapat di Kompleks Mutiara PERNAMA selepas merasmikannya di Pangkalan Udara Subang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL. 06 JULAI 2017.- Gambar fail.

KUALA LUMPUR – Selepas memberi tempoh satu bulan kepada Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) untuk memperincikan pendekatan harga produk, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berpuas hati dengan cadangan yang diberikan.

Menurutnya, sebelum ini beliau tidak berpuas hati dengan PERNAMA kerana tidak jauh bezanya harga produk di kedai luar.

Sedangkan, tujuan PERNAMA ditubuhkan adalah untuk membela kebajikan warga pertahanan, bukan mengaut keuntungan semata-mata.

“Saya berada di Sabah dan Sarawak selama dua hari ini, antara lain memberi tumpuan terhadap agenda kebajikan warga pertahanan khususnya aspek kos sara hidup.

“Lawatan ini kesinambungan daripada lawatan saya ke banyak kem dan pangkalan sejak kembali menerajui Kementerian Pertahanan, termasuk tinjauan kedai PERNAMA.

“Tinjauan saya dapati harga sebahagian produk jualan di kedai PERNAMA tidak jauh bezanya berbanding kedai di luar. Justeru, saya beri masa sebulan sejak bulan lalu untuk mereka perincikan pendekatan agar harga produk boleh diturunkan lagi,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Menurut beliau, kini selepas sebulan, PERNAMA telah membentangkan cadangan pendekatan harga produk yang dijual kepada warga pertahanan di kedai itu.

Katanya, bagi membantu meringankan beban perbelanjaan seharian warga pertahanan, kementeriannya melalui PERNAMA akan melaksanakan inisiatif penurunan harga produk jualan di semua 93 kedai itu di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Menerusi inisiatif itu, penurunan harga ditawarkan adalah sehingga 48 peratus bagi makanan dan barangan keperluan asas seharian, manakala sehingga 90 peratus bagi keperluan persekolahan anak-anak warga pertahanan.

Harga produk makanan dan barang keperluan asas di kedai PERNAMA selepas diturunkan harga ialah susu formula bayi RM21.49, iaitu RM8.78 lebih murah berbanding harga purata pasaran semasa.

Tuala wanita RM3.09 (jimat RM1.71), sardin RM6.99 (jimat RM1.64), tepung RM2.49 (jimat RM1) dan beras 10 kg RM25 (jimat RM1).

“Yang disenaraikan ini hanya sebahagian daripada kira-kira 200 produk jualan di kedai PERNAMA yang diturunkan harga.

“Dengan pembelian produk ini, warga pertahanan boleh menikmati penjimatan lebih besar, terutama bilamana mereka membeli produk ini dalam satu troli pembelian.

“Tidak sekadar itu, mengambil kira arahan saya supaya PERNAMA turut memperincikan kaedah meringankan beban perbelanjaan persekolahan warga pertahanan, PERNAMA juga akan melaksanakan penurunan harga pakaian seragam sekolah,” katanya.

Hishammuddin berkata, dengan penurunan harga itu, warga pertahanan boleh membeli pakaian seragam sekolah untuk anak masing-masing pada harga hanya masing-masing RM5 bagi seluar dan baju.

Katanya, inisiatif penurunan harga di kedai PERNAMA yang akan dilaksanakan sebagai Jualan Akhir Tahun ini berkuatkuasa serta merta bermula hari ini sehingga 31 Disember ini.

“Saya juga telah mengingatkan PERNAMA supaya memastikan barang yang diturunkan harga ini mempunyai stok mencukupi supaya penjimatan ini benar-benar dapat dirasai manfaatnya oleh warga pertahanan.

“Kepimpinan MINDEF akan memantau perkara ini dari semasa ke semasa dan mewakili MINDEF, saya berterima kasih kepada PERNAMA kerana sentiasa bersama dalam usaha membela kebajikan warga pertahanan.

“Saya mengalu-alukan lebih banyak pihak untuk melaksanakan perkara sama demi kepentingan warga pertahanan yang amat berjasa kepada tanah air tercinta,” katanya. – MalaysiaGazette