Gambar yang tular di laman media sosial yang menunjukkan seorang lelaki dipukul sekumpulan individu.

JOHOR BAHRU – Enam individu termasuk seorang warga asing dipercayai terlibat dalam kejadian merusuh yang dilaporkan berlaku di Jalan Dato’ Abdullah Tahir, di sini, awal pagi semalam ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 19 hingga 52 tahun ditahan di sekitar Larkin dan Masai bermula pukul 9.40 malam semalam.

“Dalam serbuan itu polis berjaya merampas peralatan yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu termasuk sepucuk pistol, 20 butir peluru, kad senjata dan borang kebenaran senjata termasuk beberapa telefon bimbit.

“Beberapa lagi suspek yang dipercayai turut terlibat dalam kejadian rusuhan ini juga sedang dikenalpasti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, tular beberapa rakaman video dan gambar yang menunjukkan seorang lelaki dipukul sekumpulan individu.

Rakaman video turut memaparkan lelaki dan wanita terbabit diacu sepucuk pistol oleh salah seorang suspek.

Rusuhan dipercayai membabitkan sekumpulan 10 lelaki yang memukul seorang lelaki berusia 19 tahun, dipercayai berpunca daripada seorang wanita.

Mangsa dikatakan berkenalan dengan seorang wanita warga asing berusia 20-an, yang merupakan teman wanita kepada salah seorang suspek yang tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa berjumpa dengan wanita tersebut.

Menurut Raub, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast