Marzuani Ardila Ariffin

KOTA BHARU – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Ketereh, Marzuani Ardila Ariffin menerima suntikan semangat apabila penyandang kerusi tersebut, Tan Sri Annuar Musa hadir memberi sokongan kepadanya ketika mengisi borang sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), hari ini.

Ketua Puteri UMNO Kelantan berusia 39 tahun itu berkata, beliau tetap menjadikan Annuar sebagai suri teladan untuk dirinya terus mara dalam arena politik serta pilihan raya yang akan dilaluinya.

“Kehadiran Annuar hari ini sebagai sokongan sangat mengharukan dan memberi semangat.

“Banyak pengalaman dan pembelajaran diperoleh sepanjang berkecimpung dalam politik di bawah kepimpinan beliau di Parlimen Ketereh, malah tunjuk ajar itu akan digunakan sebaiknya pada PRU15,” katanya kepada Bernama hari ini.

Majlis mengisi borang sebagai calon PRU15 BN Kelantan diadakan di Bangunan UMNO Negeri Kelantan, di sini.

Bercerita lanjut, Marzuani Ardila yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Ketereh berkata, beliau mengenali Annuar sejak 2006 apabila mula aktif dalam politik.

“Annuar adalah seperti ayahanda saya kerana sejak 2006 saya ikut beliau, sehingga saya terpilih sebagai Ketua Puteri UMNO Bahagian Ketereh, seterusnya diberi amanah untuk memegang jawatan Ketua Puteri UMNO Negeri Kelantan dan Exco Puteri UMNO Malaysia.

“Beliau adalah idola saya, semua perkara sejak dulu lagi saya akan merujuk kepada beliau. Sama seperti sekarang sebaik terima tawaran, saya tanya pandangan dan berbincang dengan beliau dulu, seterusnya minta restu serta tunjuk ajar,” katanya.

Terdahulu Annuar dalam hantaran menerusi Facebook turut berkongsi mengenai kehadiran beliau ke Bangunan UMNO Kelantan untuk melihat proses pengisian borang calon-calon BN yang akan bertanding pada PRU15. – Bernama