Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan bagi meneliti surat akujanji yang didakwa menyokong Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai perdana menteri.

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki apabila memaklumkan pihaknya ada menerima laporan mengenai perkara itu.

“Kami telah menerima aduan mengenai surat tersebut dan dakwaan itu. SPRM akan membuka kertas siasatan supaya perkara itu dapat diteliti,” katanya memetik laporan The Star hari ini.

Menurut Azam, siasatan akan dilakukan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM kerana salah guna kuasa.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan memanggil individu tertentu untuk direkodkan kenyataannya.

“Biar pegawai saya yang tentukan siapa yang perlu dihubungi. Mereka akan berbuat demikian selepas melihat dokumen yang telah diserahkan kepada mereka,” katanya.

Sejak semalam tular satu siaran di media sosial yang menggambarkan ikrar dibuat oleh Pengarah Komunikasi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah di mana beliau berjanji antara lain untuk menyokong Ahmad Zahid sebagai Perdana Menteri.

Ikrar itu didakwa ditandatangani oleh Shamsul Anuar, yang didakwa turut berjanji untuk memberikan jawatan utama Kabinet dan pelantikan politik kepada ahli parlimen UMNO serta menggugurkan pertuduhan mahkamah membabitkan pemimpin tertinggi parti. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. SPRM tak nak siasat ker bagaimana dlm tempoh 10 bulan, syarikat Rafizi boleh untung berpuluh juta? Padahal sebelum tu rugi hampir 5 juta? Tak nak siasat kaaaaaaaa???

Comments are closed.