Bekas Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin semasa Pengumuman Calon Pilihan Raya Umum ke-15 Barisan Nasional Perak.- Foto MOHD ADZLAN, 02 NOVEMBER 2022.

IPOH – Menyambung agenda pembangunan Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampong Gajah menjadi misi penyandang kerusi itu Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin.

Wan Norashikin yang mendapat 11,026 undi dengan majoriti 3,345 pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 berkata, Sayangi Kampung Gajah Kita akan menjadi tagline beliau untuk mendapatkan semula sokongan penduduk.

“Kita akan terus mempertahankan kerusi ini dengan pelbagai program bersambung dari 2018 iaitu kebajikan, kesihatan, pembangunan di Kampong Gajah.

“Pada PRU kali ini saya berharap dan merayu pengundi memberi kepercayaan kepada BN untuk dipilih sekali lagi di DUN Kampong Gajah, DUN Sungai Manik dan Parlimen Pasir Salak.

“Ini supaya kami dapat meneruskan khidmat di kawasan ini, di Perak dan seluruh negara. Kita akan teruskan agenda Perak Sejahtera 2030,” katanya.

Wan Norashikin yakin BN akan diberikan peluang untuk mentadbir Perak pada PRU15.

Katanya BN akan terus mendapat tempat di Perak bukan satu kata-kata kosong sebaliknya berbekalkan prestasi, pencapaian, kemuafakatan dan kekuatan parti itu ketika mentadbir Perak.

Kestabilan serta muafakat antara komponen BN bagi membentuk sebuah kerajaan yang kukuh dan kuat demi untuk kesejahteraan rakyat menjadi resepi parti itu untuk mentadbir semula Perak.

“Saya yakin kali ini pengundi sudah dapat menilai pemimpin parti mana yang membuat kerja dengan ikhlas, pemimpin parti mana yang bersama rakyat pada waktu senang dan susah.

“Dan pemimpin parti mana yang sentiasa memikirkan kebajikan rakyat lebih daripada segalanya.

“Kita sentiasa berpegang kepada niat iaitu melakukan sesuatu kerana Allah dan insya-Allah kita akan diberikan kejayaan. Saya harap pengundi membuat pilihan dengan hati terbuka. Kalau niat kita baik akan diberi keputusan baik,” katanya.

Justeru beliau meminta rakyat Perak untuk memilih pimpinan dengan pasukan yang kuat, stabil dan bijak merencanakan agenda Perak Sejahtera 2030.

Pada 2018 Wan Norashikin menewaskan calon Pas Mustafa Saari yang mendapat 7,681 undi dan calon PKR Zaiton Latiff yang memperoleh 3,861.-MalaysiaGazette