Azman Kang Abdullah

KUALA LUMPUR – Seorang aktivis masyarakat meminta semua parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 November ini memastikan petugas dan sukarelawan masing-masing bersih daripada elemen gangsterisme.

Azman Kang Abdullah berkata, ini kerana terdapat kemungkinan kempen berbaur ugutan akan digunakan terutama di kawasan bandar oleh pihak tertentu demi memastikan kemenangan calon mereka.

Beliau mendakwa terdapat unsur pembabitan individu yang terkait dengan gangsterisme menjadi penggerak kepada parti tertentu.

“Ini bukan perkara baru, malah sudah bermula dalam PRU sebelum ini. Ada individu tertentu mendakwa menjadi wakil calon, petugas kempen kepada parti, namun dia bawa elemen gangsterisme.

“Jika unsur seperti ini tidak dibendung, saya khuatir ia akan menakut-nakutkan pengundi dan sistem pilihan raya akan terganggu,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, walaupun setakat ini belum ada kejadian penipuan melibatkan pilihan raya, tetapi masyarakat perlu sentiasa peka kerana scammer bijak mengambil peluang, tambahan lagi musim PRU.

Menurutnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) perlu memantau perjalanan kempen menggunakan media sosial agar perjalanan PRU lancar tanpa sebarang gangguan.

“Sejak beberapa tahun ini, media sosial menjadi platform menyebarkan fitnah. Ini perlu kita elakkan kerana hasrat PRU adalah untuk menubuhkan kerajaan secara demokratik, bukan menyemai kebencian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast