Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima 480 borang keahlian dari MIC dari Bekas Ketua Cawangan Taman Mewah Tambun, Datuk Seri R Kannappah pada Program Penyerahan Bekas Ahli MIC dan ramah mesra Masyarakat India di Tambun, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 04 NOVEMBER 2022.

TAMBUN – Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan DAP akan menguasai kerajaan sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi PH itu berkata, walaupun DAP sebahagian daripada PH, namun beliau merupakan calon Perdana Menteri untuk gabungan parti politik itu jika ia mendapat mandat rakyat memerintah negara.

“Malah Menteri Besar di Perak dan juga Selangor adalah Melayu. Agong kita juga beragama Islam dan Melayu, tidak ada apa-apa perubahan, jangan sesekali termakan hasutan pihak lawan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas menerima penyerahan borang keahlian daripada bekas ahli MIC Bahagian Tambun untuk menyertai PKR, hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Program Penyerahan Bekas Ahli MIC dan ramah mesra Masyarakat India di Tambun, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 04 NOVEMBER 2022.

Sementara itu, Anwar berkata, menuduh DAP sebagai komunis merupakan tindakan yang menghina parti itu dan orang ramai sepatutnya tidak termakan hasutan itu.

“Jika ada yang kata DAP ini komunis, DAP ni pelampau, DAP nak kristiankan kita, ini maknanya pemimpin bodoh dan ‘bangang’. Boleh senang-senang orang nak kristiankan kita? Tak boleh.

“Ada yang menuduh saya alat kepada DAP, ini semua kenyataan tidak masuk akal langsung,” ujarnya.

Katanya, mungkin terdapat dalam kalangan masyarakat yang tidak setuju dengan DAP namun parti tersebut tidak wajar dihina. – MalaysiaGazette