Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Duta Hungary, Dr Petra Ponevacs-Pana ketika di majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Pengajian Tinggi dengan Kerajaan Hungary mengenai Provision of the Stipendium Hungaricum Scholarships for the Years 2022 - 2024.

BATU PAHAT – Sebanyak 40 biasiswa ditawarkan kepada warganegara Malaysia yang ingin melanjutkan pengajian di Hungary secara tahunan mulai 2022 hingga 2024.

Penawaran tersebut dibuat menerusi jalinan kerjasama antara Kementerian Pengajian Tinggi  dengan Kerajaan Hungary Provision of the Stipendium Hungaricum Scholarships for the Years 2022 – 2024.

KPT menerusi kenyataan memaklumkan, sebanyak 20 biasiswa diperuntukkan di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan One-Tier Masters (OTM) bagi bidang pengajian aliran sains.

“Manakala 10 biasiswa pula diperuntukkan di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan OTM bagi bidang aliran Sastera.

“Selain itu, sebanyak 10 biasiswa diperuntukkan di peringkat Ijazah Kedoktoran yang mana 6 biasiswa adalah bagi aliran Sains dan 4 biasiswa adalah bagi aliran Sastera.

“Biasiswa ini meliputi yuran pengajian, elaun sara hidup, penginapan serta insurans kesihatan,” kata kenyataan itu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad (kiri) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama Provision of the Stipendium Hungaricum Scholarships for the Years 2022 – 2024. bersama Duta Hungary, Dr Petra Ponevacs-Pana (kanan) semalam.

Terdahulu, majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama tersebut  ditandatangani oleh Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi dan TYT Dr Petra Ponevacs-Pana, Duta Hungary ke Malaysia semalam.

Turut menyaksikan MoU itu ialah Datuk Seri Abdul Razak Jaafar, Ketua Setiausaha KPT dan Dr Aniko Farkas, Timbalan Ketua Perwakilan Hungary ke Malaysia.

Permohonan Biasiswa Stipendium Hungaricum bagi tahun akademik 2023 akan dibuka kepada orang ramai pada pertengahan bulan November 2022.

Maklumat lanjut mengenai biasiswa ini boleh didapati di laman web rasmi https://apply.stipendiumhungaricum.hu/ -MalaysiaGazette