KUALA LUMPUR – Naib Presiden MIC Datuk A. Kohilan Pillay akan mengambil langkah segera bagi menangani rasa tidak puas hati dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) berikutan perebutan kerusi Parlimen Batu.
Kohilan berkata, beliau terkilan dengan tersebarnya video penutupan Bilik Gerakan MCA di Batu dan kain rentang BN diturunkan susulan perebutan kerusi itu.
“Saya tidak akan membiarkan masalah ini berterusan dan akan segera mencari jalan penyelesaian yang jitu.
“Saya sangat terkilan dan kesal dengan insiden itu (Bilik Gerakan MCA ditutup),” katanya. kepada MalaysiaGazette.
Kohilan berjanji akan duduk semeja dengan rakan-rakan MCA bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Saya akan berjumpa mereka atas semangat konsensus BN dan setiakawan komponen BN, selepas tamat penamaan calon esok,” tambahnya.
Beliau akui sebelum ini memang wujud tanda-tanda rasa tidak puas hati itu tetapi Kohilan percaya rakan komponen BN itu akan kembali bersama dan bersama-sama memenangkan parti komponen itu.
“Saya percaya lepas bincang nanti keadaan akan kembali baik kerana kita adalah saudara dalam BN dan merajuk bukan budaya baik.
“Kita perlu mengetepikan sebarang rasa kekecewaan dan berganding bahu memberi fokus utama untuk mencapai misi BN merampas semua kerusi Batu daripada Pakatan Harapan kali ini,” tegasnya.- MalaysiaGazette