MCA Bahagian Batu bertindak mengoyakkan kain rentang BN, menutup bilik gerakan serta memboikot PRU kali ini.

KUALA LUMPUR – Komponen MCA di bahagian Parlimen Batu  kecewa apabila kerusi itu akhirnya diserahkan kepada MIC pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Calon MIC yang akan bertanding di Parlimen Batu ialah Naib Presiden MIC, Datuk Kohilan Pillay seperti yang telah dimuktamadkan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Untuk makluman, ini juga merupakan pertukaran kerusi antara UMNO dengan MIC yang telah menyerahkan kerusi tradisinya, Sungai Buloh.

Menurut sumber kepada MalaysiaGazette, MCA agak kecewa kerana sehingga ke saat akhir mereka sudah cuba untuk berjumpa dengan Ahmad Zahid bagi mendapatkan kerusi tersebut.

“Memang betul nama MIC yang disebut tapi MCA tetap berharap kerana mereka yakin boleh menang lagi-lagi dengan bekas penyandang, Tian Chua tidak lagi wakili PKR. Gerakan juga tidak bertanding.

“Kerana itu juga kesemua ahli dan penyokong kecewa sehingga bertindak menutup bilik gerakan serta berikrar akan memboikot PRU di Parlimen Batu.

“Disebabkan situasi ini, calon MIC pun pening kerana berharap dapat kerjasama dan duduk semeja berbincang,” katanya.

MalaysiaGazette difahamkan, bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua akan bertanding secara bebas bagi menentang penyandangnya, Prabakaran.

Parlimen Batu yang satu ketika milik BN pernah menjadi kubu Gerakan sebelum bertindak meninggalkan BN selepas 2018 dan menyertai Perikatan Nasional (PN).

Setakat ini, MalaysiaGazette difahamkan seramai sembilan calon akan bertanding, antaranya, BN (Kohilan), PH (Prabakaran), PN (Ustaz Azura), Warisan (G Nathan), GTA (Wan Adzlina), Siti Kassim bebas), Nur Fathia Cleo ( bebas) dan PRM (Zulkifli Fattah).

Dalam pada itu, ketika bercakap dengan MalaysiaGazette, sumber berkata, Arabath Ali  bersedia untuk bekerja dengan mana-mana calon komponen BN yang akan bertanding kelak.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Arabath Kuala Lumpur, Arabath Ali Arul Alavundeen

Arabath  merupakan Pengerusi kepada Pertubuhan Kebajikan Arabath Kuala Lumpur (NGO) yang turut menaungi lebih 30 NGO dibawahnya, sebelum ini turut dinamakan sebagai calon pilihan UMNO untuk Parlimen Batu.

“Bagi kita itu bukan rezeki UMNO tetapi sebagai komponen kita perlu jayakan misi untuk kemenangan besar BN pada PRU kali, kita letak yang lain-lain di belakang kita. Ini bukan caranya, boikot atau sabotaj. Bukan budaya kita.

“Mohon semua bersabar, penamaan calon hanya sehari sahaja lagi. Marilah kita kerahkan semua pihak untuk yang terbaik buat rakyat kita bagi kita menangkan mandat rakyat, tolonglah,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Kohilan Pillay atau Arabath Ali di Parlimen Batu?

PRU-15: MCA bertanding di Parlimen Batu, bukan MIC – Ka Siong