Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin

MARAN – Tindakan segelintir pemimpin UMNO yang merajuk dan kemudian bertindak an menjadi calon Perikatan Nasional (PN) semata-mata untuk menyertai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) disifatkan sebagai mengkhianati perjuangan diri sendiri.

Calon kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsudin berkata, tindakan itu juga mencerminkan sikap pengkhianatan persahabatan dalam parti, selain mengkhinati kepercayaan yang diberikan selama ini.

“Mereka telah mengkhianati kepercayaan, mengkhianati kesetiakawanan dalam UMNO sendiri. Bagi saya secara peribadi mereka mengkhianati perjuangan yang mereka laungkan selama ini.

“Perkara ini sangat mendukacitakan kerana selama ini kita telah memberikan sokongan kepada mereka, kita telah memberikan mereka tempat dalam kepimpinan UMNO,” kata Shahaniza ketika ditemui MalaysiaGazette, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan tindakan bekas Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib yang akan mempertahankan kerusi Parlimen itu atas tiket PN setelah nama digugurkan.

Pencalonan Ismail disahkan oleh  Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dalam satu majlis di Marang, Terengganu malam tadi.

Ismail memenangi Parlimen Maran sejak 2004 dan  pada PRU14 lalu, beliau mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 3,763 undi menewaskan calon Pas dan PKR.

Shahaniza menegaskan, beliau akan meneruskan perjuangan pada PRU15 nanti meskipun mendepani tentangan daripada pihak lawan yang dahulunya pernah menjadi sahabat sealiran.

“Maran ini nampak gayanya kedua-dua calon Pas di DUN Kuala Sentul dan calon PN Parlimen Maran adalah bekas pemimpin UMNO sendiri.

“Namun begitu saya yakin dan percaya ianya tidak sedikit pun menggugat kekuatan UMNO Maran untuk menghadapi PRU15. Saya sendiri mendapat maklum balas daripada akar umbi yang masih setia bersama parti, ramai lagi yang masih setia, ramai yang bersimpati,” ujarnya. – MalaysiaGazette