SHAH ALAM – Tan Sri Noh Omar yang digugurkan dari senarai calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), mengucapkan tahniah kepada ahli parti yang akan bertanding pada 19 November ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu turut mengingatkan calon agar lebih teliti mengisi borang, bimbang berlaku kesilapan yang boleh memberi kemenangan percuma kepada parti lawan.
Beliau juga beberapa kali mengingatkan calon agar sampai awal pagi di pusat penamaan calon Sabtu ini dengan memastikan semua dokumen termasuk surat watikah tidak tertinggal.
“Saya ucapkan tahniah kepada calon yang bakal bergelar Yang Berhormat selepas 19 November nanti dan perjumpaan malam ini adalah untuk menyampaikan watikah. Tanpa watikah ini, mereka tidak boleh masuk ke dewan penamaan calon.
“Mulai malam ini, sila beri perhatian kepada beberapa perkara, iaitu hadir lebih awal ke pusat penamaan calon, bawa bersama watikah pelantikan, mykad dan apa saja dokumen penting yang diperlukan.
“Saya tidak mahu peristiwa PRU 1995 berulang, dua calon kita terbatal iaitu Sungai Buloh dan Sungai Panjang kerana salah isi borang. Malah, tiap kali PRU ada saja calon menang tanpa bertanding. Harap hati-hati isi borang,” katanya pada majlis penyampaian watikah pencalonan kepada 21 calon Barisan Nasional (BN) Selangor di sini, malam tadi.
BN Selangor akan bertanding di 22 kerusi Parlimen, manakala satu watikah lagi untuk calon Tanjung Karang akan disampaikan petang ini.
Noh berkata, selepas penamaan calon Sabtu ini, UMNO negeri masuk ke fasa tiga iaitu suatu tempoh yang sangat penting untuk semua jentera parti bekerja memastikan setiap calon akan beroleh kemenangan.
Katanya, sejak beberapa bulan lalu sehingga semalam, jentera parti semua sayap bekerja siang malam untuk memenangkan BN.
“Saya telah turun ke 12 bahagian untuk dengar taklimat jentera. Semuanya berada dalam keadaan bersiap sedia. Ini meyakinkan saya bahawa BN boleh menang PRU kali ini.
“Kita ada 15 hari lagi untuk sampai pada hari mengundi. Prinsip kita ialah bekerja seolah esok PRU. Kita kena lipat gandakan lagi usaha,” katanya. – MalaysiaGazette