SHAH ALAM – Polis Selangor mengenal pasti beberapa kerusi panas dan lokasi panas sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bermula pada hari penamaan calon hingga hari mengundi 19 November ini.
Ketua Polis Negeri, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya akan menempatkan anggota dan pegawai di kawasan berkenaan bagi memantau dan mengawal keadaan agar tidak berlaku kekecohan atau ganggu kacau.
“Kerusi panas ini maknanya kita menjangkakan berlaku pertandingan sengit antara calon dan keadaan ini kita boleh tahu selepas hari penamaan calon esok.
“Manakala tempat panas pula merujuk tempat yang mungkin mudah berlaku kekecohan disebabkan beberapa faktor yang sensitif,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Selangor, di sini, hari ini.
Menurut Arjunaidi, antara kerusi panas yang dikenalpasti ialah Sabak Bernam, Sungai Besar, Kuala Selangor, Gombak dan Sungai Buloh.
Bagi tempat panas pula, katanya, terdapat 37 lokasi yang dikenalpasti yang menjadi tumpuan kumpulan penyokong parti.
“Tempat ini kita berikan tumpuan, kita ada pasukan khas untuk pastikan tidak akan ada mana-mana pihak membuat kacau ganggu sepanjang proses pilihan raya berlangsung dari sekarang hingga hari selepas mengundi.
“Selain itu, kita juga mengambil kira kerusi yang dipertandingkan, yang mana calonnya yang heavyweight. Yang kini kita kenal pasti di Gombak, Shah Alam, Sungai Buloh, Ampang, Pandan, Kuala Selangor dan Sepang.
“Kawasan calon-calon heavyweight yang perlu kita beri perhatian terutama pada hari penamaan calon, sepanjang kempen dan hari mengundi,” katanya.
Beliau turut mengingatkan calon dan pasukan yang menganjurkan ceramah politik agar menamatkan program masing-masing selepas jam 12 tengah malam.
Sementara itu, kata Arjunaidi, polis juga akan menutup laluan di sembilan daerah sempena hari penamaan calon esok melibatkan Petaling Jaya, Klang Utara, Shah Alam, Kajang, Gombak, Hulu Selangor, Ampang Jaya, Sungai Buloh dan Sabak Bernam.
Manakala yang melibatkan penutupan jalan utama ialah Jalan Persiaran 3, Bandar Baru Selayang dan Lorong SMK Sungai Pusu di Gombak. – MalaysiaGazette