SHAH ALAM – Polis Selangor menggerakkan seramai 13,836 pegawai dan anggotanya untuk bertugas sepanjang hari mengundi pada 19 November ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, mereka akan bertugas di lokasi pusat dan saluran membuang undi pada hari mengundi, termasuk 4,956 pegawai serta anggota ditugaskan di 22 pusat penamaan calon esok.
“Untuk penamaan calon esok, kita telah atur gerakkan seramai 4,956 pegawai dan anggota dan turut bersedia pada hari mengundi 19 November ini dengan kekuatan 13,836 anggota dan pegawai.
“Jumlah ini tidak termasuk anggota yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Bilik Gerakan dan sebagai, di samping kita menggunakan khidmat 290 anggota sukarelawan yang ada di Selangor untuk diatur gerakan bagi membantu tugas hakiki yang ditinggalkan anggota yang bertugas di pusat penamaan calon.
“Bagi tujuan ini, kita telah mengatur penugasan secara teliti dalam semua fasa dari penamaan calon, tempoh berkempen, undi pos, undi awal dan undi sebenar serta pasca pilihan raya,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor, di sini, hari ini.
Menurut beliau, Selangor mempunyai 22 kerusi Parlimen dan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak terlibat dengan PRU15.
Katanya, negeri itu juga mempunyai 946 daerah mengundi dan 6,219 saluran iaitu berlaku pertambahan serentak dengan peningkatan pengundi berusia 18 tahun yang secara automatik menjadi pendaftar pemilih.
Katanya, jumlah pengundi berdaftar di Selangor yang dikemaskini sehingga 25 September lalu berjumlah 3,677,848 orang berbanding 2,418,611 pendaftar pada PRU14.
“Ini menyaksikan penambahan sebanyak 52 peratus daripada bilangan PRU14, apabila pemilih umur 18 tahun ke atas secara automatik layak mengundi.
“Bagaimanapun, keseluruhannya kita sudah bersiap siaga dari segi keanggotaan, peralatan dan sebagainya untuk memastikan kelancaran PRU.
“Selain itu, kita juga bekerjasama erat dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan membentuk pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya,” katanya. – MalaysiaGazette