KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli didakwa berbohong apabila menyatakan beliau tidak pernah kalah kes mahkamah.
Pentadbir laman Facebook Najib Razak berkata, dalam kes jenayah fitnah yang menyebabkan Lembaga Tabung Haji (TH) kerugian berpuluh bilion ringgit, mahkamah telah memutuskan bahawa wujudnya kes prima facie dan beliau telah diarahkan untuk membela diri.
“Namun, pada hari pertama dia sepatutnya bela diri, pihak pendakwaan kata bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas telah arahkan untuk kes tersebut ditarik balik dan pendakwaan terhadapnya digugurkan,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Selain itu, katanya, dalam kes di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), Rafizi sebenarnya sudah kalah dua kali di peringkat mahkamah seksyen dan mahkamah tinggi yang mengekalkan hukuman penjara dua tahun dan beliau didakwa turut dibantu pihak pendakwaan ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah.
Menurut beliau, di mahkamah rayuan, Rafizi tidak merayu keputusan kes tetapi merayu hukuman dan meminta hukuman ditukar dari penjara 18 bulan kepada bon tingkah laku baik selama dua tahun.
“Pihak pendakwaan ketika kerajaan PH memerintah tidak membantah permintaan Rafizi dan mahkamah rayuan pun membenarkannya.
“Ini bermaksud kes jenayah OSA terhadap Rafizi tetap kekal dan dia tetap bersalah. Cuma hukuman pada dia telah ditukar,” jelasnya.
Pentadbir laman Facebook Najib Razak memberitahu, sama seperti kes rasuah banglo Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang turut ditarik balik dan digugurkan Rafizi sangat terhutang budi terhadap Tommy.
“Sebab itu, dia dan seluruh PH tidak mahu komen tentang laporan Pasukan Petugas khas terhadap Tommy yang mendapati bahawa Tommy dan kerajaan PH telah berulang-kali campur tangan dalam sistem keadilan serta dalam pelantikan hakim-hakim mahkamah,” katanya. – MalaysiaGazette