Calon Barisan Nasional Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin bersama penyokong-penyokong yang hadir pada Majlis Pelancaran Jentera BN Parlimen Gombak sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin, Batu Caves, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 03 NOVEMBER 2022.

GOMBAK – “Bila sebut UMNO dan Barisan Nasional (BN), terus dilabelkan sebagai perompak. Jangan buat andaian itu, rakyat sudah jemu dengan pola politik yang sama,”.

Itu luahan calon BN Parlimen Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang menganggap gelaran negatif tersebut sudah ‘basi’ untuk dijadikan sebagai modal politik semasa berkempen.

Bekas calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) itu menyifatkan, pendiriannya adalah tak hidup dek puji, tak mati dek keji kerana rakyat hanya menilai berdasarkan kepada pencapaian.

“Biarlah apa orang nak kata, walaupun itu yang selalu diulangi sesetengah parti politik setiap kali pilihan raya. Paling utama bagi kita adalah fokus beri yang terbaik buat rakyat,” katanya pada sidang media di sini, malam tadi.

Megat Zulkarnain Omardin

Dalam pada itu, Megat mengakui kerusi tradisi yang disandang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sejak 2008 itu sukar ditewaskan, namun beliau yakin yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang.

Sementara itu, mengulas mengenai hubungan dengan Muafakat Nasional (MN), Megat memberitahu, tiada sebarang konflik yang timbul walaupun berbeza haluan dalam PRU15.

‘Walaupun Pas bersama Perikatan Nasional di Gombak, tapi tidak bermaksud kita putuskan segala hubungan. Semua tahu MN Gombak antara yang terbaik di Malaysia.

“Hubungan saya dengan Pas di Gombak adalah baik walaupun kita tak dapat bersama dalam PRU15, tapi atas dasar kemanusiaan, kita masih bersaudara,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap jentera BN dapat berkempen secara matang dan tidak bertelingkah dengan Pas atas keputusan yang dimuktamadkan kedua-dua parti.

Ia kerana, tegasnya, hubungan persaudaraan sesama insan tidak pernah putus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast