BAGAN DATUK – Datuk Seri Zahid Hamidi sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap blogger, Raja Petra Kamaruddin yang menabur fitnah terhadapnya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, banyak dakwaan Raja Petra berdasarkan spekulasi dan blogger itu tidak mempunyai kredibiliti.

“Saya kenali Raja Petra, saya hormat beliau tetapi pada masa sama dakwaan beliau terhadap saya itu perlu dikemukakan dengan dokumen atau saya akan mengambil tindakan saman malu terhadapnya,” katanya pada sidang media di kediamaan beliau, di sini, hari ini.

Presiden UMNO itu dipercayai merujuk kepada dakwaan Raya Petra bahawa beliau menerima sogokan kira-kira RM66 juta berhubung projek kapal tempur pesisir (LCS).

Blogger tersebut mendakwa bekas Timbalan Perdana Menteri itu menerima wang tersebut secara berperingkat antara 2012 dan 2013 melalui pengurup wang di Singapura dan Malaysia.

Kata Ahmad Zahidi, Raja Petra turut mendakwa setiap calon BN mesti menandatangani akujanji yang menyatakan sokongan terhadapnya menjadi Perdana Menteri jika BN memenangi Pilihan Raya Umum ke15 (PRU15).

“Dakwaan itu ternyata palsu kerana gambar dilampirkan menggunakan kepala surat UMNO sedangkan semua pemimpin UMNO dan BN bertanding atas tiket BN.

“Betul, saya bersetuju dengan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) yang akan melakukan siasatan terhadap perkara itu kerana jelas tuduhan Raja Petra itu bukan sahaja tiada kredibiliti tetapi juga tidak mempunyai asas berkaitan tuduhan-tuduhan seperti itu,” ujarnya. – MalaysiaGazette