ertembungan empat penjuru di Parlimen Tambun antara Pengerusi PH Anwar Ibrahim, Timbalan Pengerusi PN Faizal Azumu serta calon BN dan Pejuang. Foto FB Anwar Ibrahim

IPOH – Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berdepan pertandingan empat penjuru bagi kerusi Parlimen Tambun, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 Nov ini.

Anwar yang juga calon tunggal Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH), akan ditentang calon Barisan Nasional (BN) Ketua UMNO Bahagian Tambun Datuk Aminuddin Md. Hanafiah, calon Pejuang Abdul Rahim Tahir dan calon Perikatan Nasional (PN) yang juga penyandang kerusi itu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Pengumuman empat calon berkenaan dilakukan Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  Parlimen Tambun Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip pada 10.35 pagi selepas proses penamaan calon berjalan lancar dan ditutup pada 10 pagi.

Anwar tiba di pusat penamaan calon pukul  8.58 pagi manakala Aminuddin dan Ahmad Faizal masing-masing sampai pada 8.50 pagi dan 9 pagi, sebelum menyerahkan borang pencalonan di Dewan Sri Kledang Institut Latihan Perindustrian Ipoh Meru di sini hari ini.

Suasana pekarangan pusat penamaan meriah dengan kehadiran lebih 1,000 penyokong calon bertanding sebagai tanda sokongan dengan ada yang membawa sepanduk, bersorak serta mengalunkan selawat sepanjang calon masuk  ke pusat penamaan calon.

Perkarangan tersebut turut dikawal ketat polis dengan memasang penghadang untuk mengelakkan berlakunya pertembungan penyokong.

Pada PRU14, kerusi itu dimenangi Ahmad Faizal atas tiket Pakatan Harapan (PH) yang menggunakan logo PKR, menewaskan calon BN dan PAS sebanyak  38,661 undi dengan majoriti 5,320 undi. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast