Calon Perikatan Nasional P.098 Gombak, Datuk Seri Azmin Ali beramah mesra dengan penyokong selepas selesai menyerahkan borang penamaan calon sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Dewan SMK Sungai Pusu, Gombak, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 05 NOVEMBER 2022.Zulkifli Ahmad

GOMBAK – Sebagai penyandang Parlimen Gombak selama tiga penggal lalu, tidak bermakna Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali boleh berpeluk tubuh dan tidak berbuat apa-apa untuk mengekalkan kemenangan di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mohamed Azmin sebaliknya akui beliau perlu bekerja keras untuk terus memenangi hati pengundi-pengundi yang disajikan dengan pelbagai tawaran menarik daripada parti-parti lawannya khususnya Pakatan Harapan (PH).

“Alhamdulillah sambutan cukup meyakinkan namun saya harus terus bekerja kuat.

“Saya tidaklah mengambil mudah kerana kematangan pengundi-pengundi hari ini cukup tinggi.

“Mereka ingin melihat calon yang benar-benar untuk membentuk sebuah kerajaan yang bersih, kuat dan prihatin kepada rakyat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu beliau yang ditemani isterinya, Datin Seri Shamsidar Taharin hadir ke pusat penamaan calon Parlimen Gombak untuk PRU15 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, di sini.

Mohamed Azmin juga mempertaruhkan rekod prestasinya di Gombak ketika menyandang jawatan Menteri Besar Selangor untuk memenangi kerusi itu dengan lebih selesa.

“Gombak salah satu Parlimen di bawah Selangor, saya ada sedikit khidmat saya di Selangor dengan dasar-dasar cukup peduli rakyat dan prihatin.

“Saya berusaha untuk meneruskan agenda ini di peringkat Persekutuan, di mana sebahagian besarnya telah pun kita catatkan khususnya dalam tempoh pandemik ini.

“Walaupun keadaan amat mencabar, namun prestasi perdagangan, laporan ekonomi negara cukup meyakinkan.

“Ini hasil daripada dasar-dasar yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hampir dua tahun,” katanya.

Mohamed Azmin juga komited untuk terus membangunkan Gombak sebagai antara daerah yang cukup pesat membangun.

“Saya telah memberikan khidmat dan bakti untuk menyediakan prasarana, infrastruktur, perumahan, sekolah, institusi pengajian, surau, masjid dan tempat ibadat lain.

“Kita mahu Gombak ini kekal makmur dan rakyatnya sejahtera,” katanya lagi. – MalaysiaGazette