Gambar hiasan.

WASHINGTON – Kajian baharu oleh Pfizer dan BioNTech menunjukkan dos penggalak Covid-19 yang dipertingkatkan jauh lebih baik daripada sebelumnya dalam meningkatkan tahap antibodi orang yang berumur lebih daripada 55 tahun.

Hanya kira-kira 8.0 peratus rakyat Amerika Syarikat berumur 5 tahun ke atas telah menerima penggalak baharu daripada Pfizer dan Moderna sejak ia diperkenalkan pada September.

Pfizer dan BioNTech berkata, percubaan klinikal kepada peserta berumur lebih daripada 55 tahun mendapati mereka mempunyai tahap antibodi yang kira-kira empat kali lebih tinggi daripada mereka yang menerima dos penggalak asal.

Kajian itu mengukur tahap antibodi peneutralan terhadap dua subvarian Omicron yang dikenali sebagai BA.4 dan BA.5.

Bilangan peserta dalam kajian itu adalah kecil, dengan 36 orang yang berumur lebih daripada 55 tahun menerima penggalak baharu dan 40 orang dalam kumpulan umur itu menerima yang lama.

Dan kerana kajian itu mengukur tahap antibodi hanya sebulan selepas peserta percubaan menerima penggalak, ia tidak memberikan sebarang petunjuk tentang potensi ketahanan perlindungan dalam jangka panjang.

Keputusan daripada percubaan klinikal serupa oleh Moderna pada penggalak yang dipertingkatkan dijangka diketahui seawal minggu depan.

Kajian Pfizer juga mengkaji kesan dos penggalak yang ditingkatkan pada orang dewasa yang lebih muda.

Pfizer berkata, suntikan yang ditingkatkan itu menambah antibodi hampir sepuluh kali ganda untuk orang dewasa yang lebih muda dan 13 kali ganda untuk yang lebih tua berbanding dengan tahap antibodi sebelum menerima suntikan. – Agensi