KUALA LUMPUR – Calon Barisan Nasional Datuk A. Kohilan Pillay mengakui beliau berdepan cabaran besar untuk menambat dan meyakinkan pengundi muda di Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 kali ini.
Pun begitu, beliau optimis mampu menarik golongan muda menyokong BN dalam misi merampas kerusi yang dipegang oleh PH selama dua penggal itu.
“Parlimen ini menyaksikan 10 penjuru, sudah tentu mencabar untuk mendekati dan meraih hati pengundi untuk bersama BN.
“Namun, saya akan bekerja keras,” katanya yang menjangkakan sekitar 30,000 pengundi muda di kawasan ini akan memangkah pada PRU15.
Kohilan berkata, beliau sudah merangka pelbagai program dan pembangunan untuk anak muda yang bakal ditawarkan oleh BN ,’ tambahnya ketika ditemui selepas proses penamaan calon Parlimen Batu di SMK Sentul Utama hari ini.
Mengulas saingan sengit di kerusi Parlimen Batu, Kohilan yang juga berpengalaman menganggotai Kabinet sebagai timbalan menteri luar sebelum ini menyifatkan pertembungan 10 penjuru adalah satu contoh kesuburan demokrasi yang baik.
“Ia juga memberi pilihan kepada mengundi untuk menilai setiap calon berdasarkan trek rekod,” ujarnya. – MalaysiaGazette