Abdul Rani Abdullah tiba di Pusat Penamaan Calon, Kompleks Pentadbiran Port Dickson, Port Dickson.

PORT DICKSON – Aktivis sosial, Abdul Rani Kulup Abdullah menarik perhatian dengan memakai baju pahlawan melayu lengkap bersampin dan bertanjak ketika hadir pada proses penamaan calon kerusi Parlimen Port Dickson di sini hari ini.

Diiringi lebih 50 penyokong, Abdul Rani, 67, yang dikenali dengan panggilan ‘ayahanda’ tiba di Pusat Penamaan Calon, Kompleks Pentadbiran Port Dickson pukul 8.50 pagi.

Suasana perarakan menjadi meriah apabila beliau dan penyokongnya bersemangat melaungkan slogan “Dont give up, kipidap”.

“Ayah okey tapi sempat tidur sekejap-sekejap malam tadi,” katanya sambil berarak ketika ditanya perasaannya.

Beliau bertanding atas tiket calon bebas selepas Parti Barisan Penyatuan Nasional (BPN) yang diwakilinya tidak diterima pendaftaran oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Abdul Rani dijangka menghadapi saingan hebat daripada calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Aminuddin Harun, calon Barisan Nasional (BN) Datuk P. Kalamananthan, calon Pejuang di Gerakan Tanah Air (GTA), Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan calon Perikatan Nasional (PN), Rafiei Mustapha.

Beliau yang juga pesara tentera merupakan Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) membuat keputusan menyertai politik selepas 22 tahun berjuang membawa suara rakyat melalui platform pertubuhan bukan kerajaan (NGO). – MalaysiaGazette