Hasni Mohammad

SIMPANG RENGGAM – Pengalaman sebagai menteri besar Johor serta pernah menjadi wakil rakyat di kawasan Pontian menjadi tiket kepada Datuk Seri Hasni Mohammad untuk dinilai pengundi di Simpang Renggam.

Hasni berkata, meskipun merupakan orang baharu untuk bertanding di kerusi Parlimen, beliau yakin segala isu yang dibangkitkan bukannya kekangan untuk berkempen sepanjang tempoh 14 hari bermula hari ini.

Katanya, beliau akan mendengar cadangan serta melakukan penambahbaikan kerana pastinya ada jalan penyelesaian yang terbaik.

“Saya percaya Simpang Renggam tidak akan menoleh ke belakang, malah, terus melihat ke hadapan untuk kita terus bangunkan bahawa kawasan ini sebagai kawasan yang paling penting di negeri Johor.

“Adalah menjadi harapan saya sebagai calon Parlimen, dan saya percaya dengan adanya kerjasama antara kerajaan negeri dan juga kerajaan pusat, Insya-Allah di Putrajaya esok itu merupakan satu sinergi yang kuat dan tidak lain akan mendapat faedah daripada itu adalah pengundi-pengundi dan masyarakat di Simpang Renggam ini,” katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon, di sini, hari ini.

Menurut Hasni, apa yang menjadi fokus ketika ini adalah aspek pembangunan infrastruktur di kawasan Simpang Renggam yang perlu ditambah baik.

Katanya, masalah pembekalan sistem air bersih di beberapa kawasan di parlimen berkenaan yang masih menjadi isu perlu diselesaikan segera selain usaha untuk memberi kemudahan kepada petani yang memerlukan bantuan tertentu.

Ditanya sama ada beliau yakin BN boleh merampas kerusi parlimen tersebut daripada Pakatan Harapan (PH), Hasni berkata, beliau dan jenteranya akan bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka ,sekaligus memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan.

“Saya tidak akan melihat mana-mana calon sebagai persaingan mudah tetapi, saya perlu bekerja keras, perlu menyusun gerak kerja kempen ini sebaik-baik yang mungkin dan berjumpa seramai mungkin (pengundi) di dalam kawasan Simpang Renggam,” tambahnya. – MalaysiaGazette