Calon Gerakan Tanah Air P.107, Sungai Buloh, Mohd Akmal Mohd Yusof hadir bagi menyerahkan borang penamaan calon sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kompleks Pejabat Kerajaan Daerah Petaling, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 05 NOVEMBER 2022.

SUNGAI BULOH – Meskipun calon yang bertanding di Parlimen Sungai Buloh datang daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran, pada akhirnya pengundi yang memilih wakil rakyat yang mampu menyelesaikan isu setempat.

Calon Gerakan Tanah Air (GTA), Mohd Akmal Mohd Yusoff berkata, pertandingan sengit tidak bermakna pengundi kawasan berkenaan mampu memiliki wakil rakyat yang bertanggungjawab.

Katanya, kenyataan itu berdasarkan banyak masalah di Sungai Buloh yang gagal ditangani dengan baik.

Anak jati Sungai Buloh itu berkata, kawasa tersebut berdepan dengan masalah kesesakan jalan dan infrastruktur yang gagal ditambah baik.

“Kadang-kadang tidak perlu diubah tapi tambah baik. Mungkin perkara itu tidak banyak dilakukan di sini,” kata bekas pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Melayu Sungai Buloh dan Sekolah Agama Paya Jaras ini.

Oleh itu, katanya, walaupun pertandingan sengit dalam pilihan raya adalah menarik tetapi pastikan pengakhirannya pengundi mendapat nikmat.

“Selain itu, suara kita pun didengar,” ujarnya lagi.

Mohd Akmal merupakan salah seorang daripada tujuh calon yang disahkan berentap pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau akan ditentang enam calon lagi iaitu  iaitu Khairy Jamaluddin daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Ramanan (Pakatan Harapan), Mohd Ghazali Md Hamin (Perikatan Nasional), Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia) dan dua calon bebas iaitu Syed Abdul Razak Syed Long Alsagoff dan Nurhaslinda Basri.  – MalaysiaGazette