Penyandang kerusi Tapah, M Saravanan akan berdepan dengan enam persaingan pada PRU-15 ini.

TAPAH – Penyandang Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan berikrar akan mempertahankan kemenangan kerusi itu untuk Barisan Nasional (BN).

Kata Menteri Sumber Manusia itu, rata-rata pengundi di situ yang majoritinya Melayu maklum dengan rekod cemerlangnya sebagai wakil rakyat di Parlimen Tapah sejak tiga penggal.

Lantaran itu, beliau tidak gentar berdepan dengan persaingan enam penjuru membabitkan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Warisan, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan satu calon bebas  pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Hakikatnya, rakyat sudah celik pada masa ini, siapa yang benar-benar turun membela nasib dan siapa yang hanya sekadar ‘menanam tebu di bibir’.

“Pengundi Tapah boleh menilai sendiri pembangunan, infrastruktur, modal insan dan peluang pekerjaan, yang telah wujud untuk dijadikan kayu pengukur atau perbandingan dengan mana-mana calon lain sebelum ini dan selepas ini.

“Lagipun pengundi juga bijak untuk mengundi wakil rakyat yang memahami nadi dan keperluan mereka, yang memahami Tapah, anak tempatan dan bukannya ‘terjun’ untuk bertanding pada musim pilihan raya sahaja, janji kemudian hilang.

“Tidak kira berapa penjuru sekalipun, khidmat dan perjuangan saya untuk rakyat Tapah, pada saya kemenangan ini bukan untuk saya sebaliknya untuk masyarakat berbilang kaum di sini dan juga kepada BN,” katanya kepada MalaysiaGazette.

M. Saravanan

Saravanan akan berdepan dengan pencabarnya, K Saraswathy (PH), Muhamad Yadzan Muhammad (PN), Mohamed Akhbar Sheriff (Warisan), Mior Nor Haidir Suhaimi (Pejuang), M Kathiravan (Bebas).

Pada PRU14, Saravanan mewakili BN menguasai kerusi Parlimen Tapah dengan majoriti 614 undi, menewaskan calon Pas dan Pakatan Harapan (PH) yang bertanding menggunakan logo PKR ketika itu.

Kerusi Parlimen Tapah disandang Saravanan selama tiga penggal sejak 2008 selepas memenangi PRU-12 apabila mengalahkan calon PKR, Tan Seng Toh dengan majoriti 3,020 undi. -cMalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast