Penyandang kerusi Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah (dua dari kiri) akan dicabar Presiden Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali dan bekas Ketua UMNO Bahagian, Datuk Mohd Zain Ismail (kiri).

KOTA BHARU – Kelantan buat pertama kalinya dalam sejarah Pilihan Raya Umum (PRU) akan menyaksikan pertandingan enam penjuru.

Pertandingan enam penjuru itu melibatkan Parlimen Pengkalan Chepa dan Kota Bharu yang masing-masing disandang Datuk Ahmad Marzuk Shaary dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Di Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk yang kali ini bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dicabar calon Barisan Nasional (BN), Mohd Hafiezul Niezam Mohd Hasdin; calon Pakatan Harapan (PH), Nik Faizah Nik Othman; calon Gerakan Tanah Air (GTA), Wan Ahmad Nasri Wan Ismail; calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Shaifulrizan Mohd. Nasir dan calon bebas, Mohd Redzuan Razali.

Di Kota Bharu pula, Takiyuddin yang juga bertanding atas tiket PN dicabar Datuk Rosmadi Ismail dari BN, Dr. Hafidzah Mustakim (PH), Prof. Datuk Dr. Che Musa Che Omar (GTA), Tan Boon Kian @ Andy Tan (PRM) dan Izat Bukhary (Bebas).

Sementara itu, pertembungan lima penjuru pula berlaku di tiga kerusi Parlimen iaitu Tanah Merah, Rantau Panjang dan Tumpat.

Penyandang kerusi Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang sebelum ini menang atas tiket BN, sebelum keluar parti pada 2018 akan ditentang Mohd. Bakri Mustapha dari BN, Datuk Mohamad Suparadi Md. Noor (PH), Mohd Nasir Abdullah (GTA), Datuk Nik Sephia Nik Yusoff (Bebas).

Nik Sapia

Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff di Rantau Panjang pula ditentang Zulkarnain Yusoff dari BN, Wan Shah Jihan Wan Din (PH), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali (GTA) dan Datuk Mohd Zain Ismail (PRM).

Di kerusi Tumpat, bekas Ahli Parlimen Pas, Datuk Che Abdullah Mohd Nawi yang kali ini bertukar baju kepada BN akan dicabar Datuk Mumtaz Md. Nawi (PN), Wan Mohd. Johari Wan Omar (PH), Che Muhammad Asemari Che Ali (GTA) dan Khairul Azuan Kamarrudin (Warisan).

Sembilan kerusi lagi hanya ditandingi empat penjuru iaitu Pasir Mas, Kubang Kerian, Bachok, Ketereh, Pasir Puteh, Machang, Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang.

Di Pasir Mas, penyandangnya Ahmad Fadhli Shaary dicabar Ketua UMNO Bahagian, Datuk Ab. Ghani Harun mewakili BN, Datuk Husam Musa (PH) dan Nasrul Ali Hasan Abdul Latif (GTA).

Di Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai penyandang akan dicabar Naib Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, Dr. Wan Ahmad Kamil Wan Abdullah (PH) dan Mohamad Rizal Razali (GTA).

Tempat penyandang kerusi Parlimen Bachok yang digugurkan, Nik Abduh Nik Abdul Aziz akan diganti calon luar, Mohd Syahir Che Sulaiman mewakili PN.

Beliau akan melawan Datuk Mohd. Zain Yasim (BN), Nor Azmiza Mamat (PH) dan Kamarul Azam Osman (GTA).

Kerusi Ketereh yang agak kontroversi apabila penyandangnya, Tan Sri Annuar Musa tidak dicalonkan diganti dengan Ketua Puteri Bahagian itu, Marzuani Ardila Ariffin akan bersaing dengan Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd Nor (PN), Rahimi L. Muhamud (PH) dan Hanif Ibrahim (GTA).

Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh dari PN yang akan mempertahankan kerusi Pasir Puteh dicabar pula Ketua UMNO Bahagian, Datuk Zawawi Othman, Muhammad Husain (PH) dan Wan Marzudi Wan Omar (GTA).

Di Machang, penyandang yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub akan dicabar bekas Timbalan Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fasyhal Wan Kamal (PN), Dr. Rosli Allani Abdul Kadir (PH) dan Mejar (B) Muhammad Seman (GTA).

Jeli tidak lagi menjadi bualan selepas penyandangnya, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang menang atas tiket BN pada PRU14 tidak mempertahankan kerusi itu.

Sebaliknya, tempat beliau diberikan kepada pegawai khasnya, Zahari Kechik untuk bertanding menentang Norwahida Patuan dari BN, Md. Radzi Wahab (PH) dan Prof. Ir Dr. Muhammad Daud (GTA).

Dua lagi kerusi ialah Parlimen Kuala Krai yang menampilkan perlawanan antara penyandang, Abdul Latiff Abdul Rahman (PN) melawan Datuk Mohamed Zulkepli Omar (BN), Mohd. Hisyamuddin Ghazali (PH) dan Norashikin Che Omar (GTA).

Di Gua Musang, penyandangnya, Tengku Razaleigh Hamzah dicabar oleh Datuk Mohd Azizi Abu Naim (PN), Asharun Uji (PH) dan Datuk Dr. Samsu Adabi Mamat (GTA).

Keseluruhan pengundi berdaftar di Kelantan selepas Undi18 secara automatik layak mengundi pada PRU15 berjumlah 1,404,763 orang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast