Mohamad Hamim (kiri) mengumumkan nama calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.

KUALA LUMPUR – Kerusi Parlimen Bandar Tun Razak menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Penyandang kerusi itu, Datuk Kamarudin Jaffar yang mewakili PN akan berdepan Datuk Chew Yin Keen (BN), dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PH).

Perkara itu diumumkan Pengurus Pilihan Raya Parlimen Bandar Tun Razak, Mohamad Hamim, sebaik sahaja tempoh penghantaran kertas penamaan calon tamat pada jam 10 pagi.

Beliau berkata, tiada borang penamaan ditolak selepas penelitian dibuat ke atas semua dokumen yang diterima daripada calon.

Wan Azizah merupakan calon pertama menghantar borang pada jam 9.04 pagi diikuti Chew Yin tiga minit kemudian disusuli Kamarudin pada jam 9.09 pagi.

Pada PRU14, Kamarudin memenangi kerusi itu atas tiket PKR dengan menewaskan Adnan Seman (BN) dan Dr Rosni Adam (Pas).

Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar

Menurut Kamarudin, beliau yakin dapat mempertahankan kerusi itu dengan rekod khidmat yang baik di Bandar Tun Razak.

“Kalau calon lain rasa mereka mempunyai rekod khidmat yang baik di tempat mereka menjadi wakil rakyat sebelum ini, itu hak mereka (untuk bertanding).

“Apa jawatan dalam parti sekali pun, rakyat hanya akan memilih sesiapa yang mempunyai rekod khidmat yang baik sebagai Ahli Parlimen” katanya ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon Parlimen Bandar Tun Razak di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penglibatan Wan Azizah yang merupakan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Wan Azizah merebut kerusi itu.

Kamarudin berkata, beliau akan memastikan pembangunan di kawasan tersebut yang membabitkan isu perumahan rakyat, infrastruktur seperti kawasan parkir kenderaan terus mendapat perhatian.

Katanya, beliau yakin pengundi Bandar Tun Razak dapat melihat apa yang sudah dilakukannya ketika menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

Parlimen Bandar Tun Razak mempunyai 119,185 pemilih berdaftar. – MalaysiaGazette