KUALA LUMPUR – Calon Pakatan Harapan, P. Prabakaran yang turun kali kedua untuk mempertahankan kerusi Parlimen Batu yang disandang sejak 2018 meminta pengundi di kawasan tersebut agar membuat keputusan bijak pada hari mengundi 19 November nanti.
“Saya menasihati pengundi di Batu agar fikir dengan bijak dan teliti sebelum memangkah memilih wakil rakyat.
“Saya nampak majoriti daripada 10 calon yang bakal berentap bersama saya di Batu bukan berasal daripada kawasan ini dan saya juga tidak pasti dengan apa agenda mereka sebenarnya.
“Jadi saya harap pengundi Batu membuat keputusan bijak dan jangan pecahkan undi,” katanya selepas proses penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan Sentul Utama di sini hari ini.
Mengulas tindakan Tian Chua bertanding bebas di kerusi yang sama, Prabakaran dengan tenang menjawab, biarlah pengundi yang membuat penilaian.
Beliau tidak mahu pengundi membuat kesilapan dalam menentukan nasib mereka untuk tempoh lima tahun akan datang dengan memangkah wakil yang salah.
Katanya, PKR sudah cuba berunding dengan Tian Chua dan namun tidak tahu perkembangannya.
Bagaimanapun, kata Prabakaran, Tian chua mempunyai pandangan serta rasional tersendiri di sebalik keputusannya bertanding bebas.
“Saya tiada masalah dan mengalu-alukan sesiapa yang bertanding sebab rakyat diberi pilihan dan itulah demokrasi yang ditawarkan,” ujarnya sambil mengakui tindakan Chua mengejutkan parti.
Ia kerana, kata Prabakaran, PKR telah muktamad untuk mencalonnya.
“Saya berharap pengundi menilai mendalam persepsi yang dibawa oleh Tian Chua untuk bertanding. Kalau boleh saya merayu jangan memecahkan undi nanti,” tambahnya.
Selain Chua, Prabakaran berdepan dengan lapan calon lain termasuk Datuk A. Kohilan Pillay dari MIC. – MalaysiaGazette