Calon Pakatan Harapan P.107, Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan hadir bagi menyerahkan borang penamaan calon sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kompleks Pejabat Kerajaan Daerah Petaling, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 05 NOVEMBER 2022.

SUNGAI BULOH – Timbalan Ketua Penerangan 1, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk R Ramanan menafikan merajuk selepas parti itu dilaporkan mahu mengkaji semula pencalonannya di Parlimen Sungai Buloh.

Sebaliknya, calon PH menyalahkan media kerana membuat dakwaan berkenaan tanpa bertanya terus kepadanya.

“Saya langsung tidak merajuk bila media kata ada penukaran kerana watikah sudah di tangan saya tapi saya tidak cakap apa-apa sebab media tidak jumpa saya,” katanya kepada pemberita selepas Penamaan Calon untuk Parlimen berkenaan selesai di Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, hari ini.

Namun, Ramanan enggan mengulas lanjut apabila ditanya tentang cadangan menukarkannya dengan calon lain seperti yang  disuarakan oleh Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.

“Kita tidak payah kita bincang isu dalaman parti, tidak perlu kita ungkit kita maju ke depan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ramanan yang bakal bertanding buat pertama kali di Parlimen berkenaan memberi jaminan akan menggunakan Pakatan Harapan (PH) menyandang Sungai Buloh selama tiga penggal untuk terus mempertahankan kerusi tersebut.

“Strateginya adalah kerja keras. Sebenarnya ada banyak yang saya boleh tawarkan kepada penduduk Sungai Buloh,  saya jelaskan nanti,” tambah beliau.

Mengulas mengenai kehadiran Khairy Jamaluddin sebagai pencabarnya, Ramanan mengakui dia tidak popular di media sosial.

Pada PRU14 yang lalu,  Sivarasa (PH) berjaya memenangi kerusi Parlimen Sungai Buloh dengan meraih 43,631 undi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast