Wan Azizzah Wan Ismail gembira menunjukkan MyKadnya.

KUALA LUMPUR — Dalam keterujaan menyertai perarakan, calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tiba-tiba panik.

Beliau yang pada mulanya kelihatan ceria bertukar cemas apabila gagal menemui MyKad sebelum memasuki pusat penamaan calon, di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (IDB), di sini.

“Saya dah selitkan IC (kad pengenalan) dalam pas SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) ini tapi itulah tadi tercicir masa perarakan, mujurlah saya dapat balik. Penting ni!” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon P.124 Parlimen Bandar Tun Razak selesai.

Kad pengenalan milik Pengerusi Majlis Penasihat PKR itu berjaya ditemui salah seorang penyokongnya, sekali gus melegakan kira-kira 200 penyokongnya yang mengiring beliau memasuki pekarangan pusat penamaan calon itu.

Parlimen Bandar Tun Razak menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan Wan Azizah, penyandang kerusi Datuk Kamarudin Jaffar mewakili Perikatan Nasional, dan Ketua MCA, Tun Razak Datuk Chew Yin Keen dari Barisan Nasional.

Seramai 119,185 pemilih layak mengundi di Parlimen Bandar Tun Razak pada 15 November ini. – MalaysiaGazette