Wan Rosdy Wan Ismail

CAMERON HIGHLANDS – Penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yakin dapat majoriti yang tinggi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 berdasarkan trek rekod pentadbirannya.

Beliau percaya kerja kerasnya akan dinilai sebaik-baiknya oleh rakyat.

”Saya percaya pentadbiran baik kerajaan negeri Pahang yang diterajui Barisan Nasional tidak dapat dipertikaikan oleh rakyat kerana saya sentiasa memastikan negeri yang stabil, rakyat sejahtera.

“Keutamaan ini sekali gus memberi imej yang baik kepada kerajaan negeri yang dipimpin oleh BN,” katanya yang ditemui di sini selepas disahkan sebagai calon yang bakal bertanding di DUN Jelai.

Wan Rosdy bersama ister dan tiga anak.

Terdahulu, Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang disambut ribuan penyokong di padang berhampiran SMK Sultan Ahmad Shah sebelum menyerahkan borang pencalonan di Dewan Gemilang sekolah.

Beliau turut bertekad untuk meneruskan kecemerlangan Pahang jika BN diberi mandat besar pada pilihan raya kali ini.

“Insya Allah kita tidak akan gagalkan,” katanya yang turut ditemani isteri dan tiga anaknya.

Wan Rosdy akan dicabar sekali lagi dengan saingan lama iaitu calon Perikatan Nasional (PN), Dr Abdul RasidĀ  Mohamed Ali dan calonĀ Pakatan Harapan (PH), Ismail Mohamad Husin.

Pada PRU14, Wan Rosdy memenangi kerusi Jelai dengan majoriti 3,507 selepas berjaya memperolehi 5,858 undi, manakala Dr Abdul Rasid dari PKR memperoleh 1,298 undi, Mat Nor Ayat dari Parti Sosialis Malaysia (229 undi) dan calon Pas, Abdul Karim Mat Nor (2,351). – MalaysiaGazette