Auzaie Fadzlan Shahidi

KUALA LUMPUR – Parti Berjasa, salah satu komponen Gerakan Tanah Air (GTA) mengambil langkah berani dengan meletakkan calon termuda parti itu bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Auzaie Fadzlan Shahidi, 27, diletakkan di Parlimen Larut untuk menggegarkan penyandang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dari Perikatan Nasional (PN) dalam pertandingan empat penjuru 19 November ini.

Selain itu, calon GTA yang bertanding menggunakan logo Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) turut bertembung dengan dua lagi calon iaitu Mohd Syafiq Fhadly Mahmud dari Barisan Nasional (BN), Zolkarnain Abidin dari Pakatan Harapan (PH).

Auzaie yang merupakan anak tempatan dan membesar di Selama menyatakan kesediaannya menawarkan khidmat bakti kepada pengundi di parlimen itu.

“Saya yakin Hamzah sudah hilang taringnya, dulu beliau menang atas tiket BN kemudian melompat.

“Jadi, beliau dah kehilangan pengundi BN dan anak muda memang tidak berpihak kepada beliau,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.

Anak muda berjiwa besar ini adalah graduan Syariah di Universiti Al-Azhar Mesir yang kini seorang usahawan pemborong barangan runcit. – MalaysiaGazette