Calon PKR P.100 Pandan, Rafizi Ramli bercakap kepada media selepas sesi walkabout sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pasar Pagi Taman Muda, Ampang. Foto MUHD NA’IM, 06 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Semua parti politik perlu dibawa ke meja rundingan sekiranya sebarang keputusan untuk menangguhkan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) dibuat.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, perkara itu perlu dibuat kerana banyak parti politik tidak bersetuju untuk PRU15 diadakan atas alasan akan berlaku banjir besar pada penghujung tahun ini.

“Sebarang perkembangan yang melibatkan sama ada PRU ini terganggu atau tidak atas alasan banjir dan bencana oleh kerana PM sekarang adalah caretaker, dia mesti melibatkan kepimpinan semua parti yang bertanding dan tak boleh buat keputusan UMNO BN semata-mata.

“Perkara itu mesti ditangani dengan begitu baik,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas hadir program bersama rakyat di Tasik Pandan Perdana, lewat petang tadi.

Rafizi berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai hak menangguhkan PRU15 jika banjir besar berlaku sepanjang tempoh berkempen.

Ismail ketika di Bera berkata, perbincangan lanjut akan dibuat sekiranya keadaan mendesak dan PRU15 tidak dapat dilaksanakan kelak.

Ismail Sabri menjelaskan, dua bulan sebelum Parlimen dibubarkan, satu mesyuarat bersama menteri besar dan setiausaha kerajaan negeri bagi memastikan persediaan menghadapi banjir dalam keadaan terbaik.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) secara konsisten tidak mahu PRU15 diadakan dalam masa terdekat disebabkan faktor cuaca dan bencana banjir yang dijangka melanda negara.

“Sebab itu bercakap soal banjir, saya harap kalau ada sebarang keputusan satu dia mesti berasaskan kepada data dan juga ramalan yang tepat tanpa campur tangan politik.

“Kedua sebarang keputusan itu juga mestilah melibatkan semua parti-parti yang bertanding, kalau tidak ia menimbulkan persepsi yang UMNO sekarang ini nampak kebelakangan dan PH ada kemugkinan ke arah nak menang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

SPR ada kuasa hentikan PRU-15 jika berlaku banjir luar biasa – PM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast