Mohamed Azmin melayani penduduk Pangsapuri Taman Keramat Permai dalam majlis ramah mesra pagi ini.

GOMBAK – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin rakyat di Parlimen Gombak kini lebih matang dalam memilih calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Menurut penyandang kerusi Parlimen tersebut, keyakinan itu berdasarkan pembangunan yang pesat dibawanya ke kawasan berkenaan sepanjang menjadi wakil rakyat selama 10 tahun.

“Saya sudah 10 tahun menjadi wakil rakyat kawasan ini dan banyak pembangunan termasuk membela nasib rakyat telah saya lakukan.

“Kali ini berlaku pilihan raya lagi dan saya yakin dapat meneruskan kesinambungan tradisi membela rakyat di Gombak.

“Calon luar tidak dapat memahami denyut nadi rakyat. Mereka datang sekali sekala dan hanya lebih acap bila tiba musim pilihan raya,” katanya pada majlis ramah mesra dengan penduduk Pangsapuri Taman Keramat Permai, dekat sini, hari ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu akan berhadapan pertembungan lima penjuru dengan pencabarnya terdiri daripada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dari Pakatan Harapan; calon Barisan Nasional, Datuk Megat Zulkarnain Omar Din; calon Gerakan Tanah Air, Jamaludin Mohd Tahir dan calon bebas, Zulkifli Ahmad.

Bagaimanapun, adiknya, Azwan Ali yang disebut-sebut akan mencabarnya, menarik diri pada saat akhir pada hari penamaan calon semalam.

Menurut Mohamed Azmin, walaupun 10 tahun berkhidmat di Gombak, masih banyak lagi agenda yang menjadi harapan dan hasratnya untuk dilaksanakan di kawasan itu.

Katanya, beliau bukan bercakap sekadar menabur janji pilihan raya, tetapi telah membuktikan harapan itu ketika memegang jawatan Menteri Besar Selangor sebelum ini.

“Ketika saya Menteri Besar, saya memperuntukkan kira-kira RM400 juta kepada Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) untuk pembangunan Islam di seluruh negeri.

“Jumlah itu adalah peruntukan yang digunakan sesebuah negeri untuk keseluruhan pembangunan, tetapi saya sediakan sebanyak itu hanya untuk JAIS sahaja.

“Malah, banyak lagi yang saya bangunkan di Selangor, apatah lagi di Gombak ini,” katanya.

Mengenai hasrat adiknya, Azwan mahu bertanding atas tiket bebas di kerusi Parlimen itu sebelum ini, Mohamed Azmin berkata, Malaysia mengamalkan sistem demokrasi dan sesiapa sahaja boleh bertanding.

“Namun, pagi ini (semalam) sebaik bangun tidur, saya sangka enam, rupanya lima,” kata beliau berseloroh merujuk penarikan diri Azwan pada hari penamaan calon.

Azwan atau mesra dengan panggilan Diva AA mengumumkan menarik diri daripada bertanding sebagai calon bebas selepas didatangi mimpi arwah ibunya, Che Tom Yahaya, yang menasihatinya jangan bertanding. – MalaysiaGazette