PUTRAJAYA — Keakraban dengan pengundi muda meyakinkan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk mempertahankan kerusi Parlimen Putrajaya yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Malah calon Barisan Nasional (BN) itu menganggap generasi muda di kawasan tersebut seperti cucu dan keluarganya sendiri sejak mula menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut sejak 2004.
“Saya sayang anak-anak muda Putrajaya, saya kenal budak-budak ini dari kecil sampai sekarang dah besar. Saya kenal macam keluarga saya, cucu saya.
“Boleh tanya mereka sendiri macam mana hubungan kami. Kalau dengan isteri saya lagi mereka seronok, dapat macam-macam” katanya ketika ditemui selepas menyantuni pengundi di Medan Selera Presint 16, di sini, hari ini.
Justeru Bendahari UMNO itu berharap hubungan rapat yang sudah lama terjalin itu dapat membantu beliau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Saya yakin, undi 18 ni tetap akan beri sokongan kepada saya.” katanya.
Mengulas mengenai saingan enam penjuru yang bakal dihadapinya pada 19 November ini, Tengku Adnan berkata, ia bukan satu masalah
Jelasnya, beliau tidak gerun dengan kehadiran dua calon bebas dalam negara yang mengamalkan demokrasi sesiapa sahaja berhak bertanding.
“Saya takde masalah, saya dah bertanding empat round (PRU), lawan calon besar-besar pula
“Kita disini harmoni, duduk seperti keluarga. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” katanya sambil berharap pengundi Putrajaya memberi pengajaran kepada calon lain.
Pada PRU15, Tengku Adnan akan berdepan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Radzi Jidin mewakili Perikatan Nasional (PN); Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz dari Pakatan Harapan (PH); calon parti Pejuang tanah Air (Pejuang) Datuk Rosli Ramli dan dua calon bebas, Samsudin Mohamad Fauzi dan Lim Fice Bee bagi mempertahankan kerusi Parlimen Putrajaya.
Seramai 42,881 pengundi berdaftar layak mengundi bagi Parlimen Putrajaya pada PRU15 yang mana 53 peratus daripada jumlah itu, atau 25,415 orang, merupakan mereka yang berusia antara 18 hingga 39 tahun. – MalaysiaGazette