Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Tan Sri Datuk Seri Liow Tiong Lai di Bentong, Pahang hari ini.

BENTONG – “Kalau penduduk Bentong rindu kepimpinan Tan Sri Datuk Seri Liow Tiong Lai, pangkah dia (Barisan Nasional) pada 19 November nanti,” kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Tambah beliau, calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Bentong bagi Pilihan Raya Umum 15 (PRU15) itu juga rindu untuk menabur bakti kembali berkhidmat kepada masyarakat Bentong.

Ini terbukti apabila bekas Ahli Parlimen Bentong itu tetap memberi perkhidmatan yang baik walaupun beliau tidak lagi menyandang jawatan itu selepas tewas pada Pakatan Harapan (PH).

“Beliau (Tiong Lai) pernah menjadi ahli Parlimen suatu ketika dulu dan sekarang kembali menawarkan diri bertanding menjadi Ahli Parlimen Bentong kerana kita tahu rakyat Bentong rindukan kepada perkhidmatan beliau.

“Walaupun beliau tewas disebabkan penipuan fitnah dan sebagainya dan saya percaya pengundi-pengundi di Parlimen Bentong tidak akan tertipu lagi buat kali kedua,” katanya ketika berucap pada program Ramah Mesra Masyarakat Sabai di Felda Mempaga 1 di sini hari ini.

Tambah Wan Rosdy, sambutan baik daripada penduduk di sini menunjukkan petanda positif menyokong kepimpinan bekas Presiden MCA yang pernah meyandang kerusi di Parlimen Bentong selama empat penggal.

Tiong Lai tewas pada PRU14 lalu dengan memperoleh 23,684 undi berbanding lawannya, Wong Tack (25,716) dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 2,032.

Setelah melalui pengalaman diperintah pembangkang,  kini rakyat pun sedar kekalahan yang berlaku akibat rakyat terkeliru dan terpengaruh pada janji-janji palsu, kata Wan Rosdy.

Malahan katanya, rakyat juga ingin menikmati kembali zaman kegemilangan dan kepimpinan BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tewas pada PRU14 lalu seperti di Ketari.

“Kita tahu dulu ada janji nak turunkan harga tol, memansuhkan bayaran PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), turunkan harga minyak dan sebagainya.

“Dan penduduk Ketari juga rindukan perkhidmatan dari wakil rakyat BN di mana kawasan yang kalah dulu memang ada penyelaras daripada BN untuk membantu keperluan masyarakat di situ,” katanya.

Beliau berkata,  Datuk Amizar Abu Adam yang merupakan antara calon muka baharu yang disasarkan untuk merampas DUN Ketari kembali kepada BN.

“Datuk Amizar memang dari awal telah membantu masyarakat di sini ketika dikuasai pembangkang. Kita sebagai kerajaan negeri yang prihatin kita lantik mana-mana individu yang boleh memberi perkhidmatan membantu kerana DUN Ketari selama ini sangat terbiar dan terabai,” ujarnya.

Sehubungan itu, Wan Rosdy yang juga Pengerusi BN Pahang berharap semua calon dapat berjumpa dengan pengundi seramai mungkin secara bersemuka.

Beliau turut berharap calon lama atau muka baharu diberikan peluang untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Kempen secara Facebook bagus tapi lagi bagus kalau secara face to face, dapat human touching.

“Saya menyeru rakyat di Pahang jangan ditipu kali kedua, lazimnya manusia ini kena tipu sekali sahaja tapi kalau kali kedua ini, Allahuakbar,” katanya. – MalaysiaGazette