KUALA LUMPUR – Gara-gara tidak berpuas hati dengan keputusan perlawanan, lima lelaki ditahan polis kerana bergaduh semasa bermain bola.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 12.30 pagi Rabu lalu daripada seorang lelaki mengenai pergaduhan semasa perlawanan bola sepak diadakan Saujana Putra, Kuala Langat.

Katanya, dalam laporan tersebut lelaki berusia 23 tahun itu mendakwa dia telah dipukul oleh dua lelaki semasa pergaduhan tercetus.

“Polis pada hari yang sama mengesan satu video viral berdurasi 58 saat yang dimuat naik di dalam media sosial yang memaparkan kejadian pergaduhan itu melibatkan dua pasukan bola sepak tempatan.

“Hasil siasatan awal polis mendapati punca kejadian itu disebabkan pihak pasukan lawan tidak berpuas hati dengan keputusan perlawanan bola sepak itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Ahmad Ridhwan, bertindak atas maklumat dan laporan pengadu, sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat menahan lima lelaki di sekitar Banting pada jam 2 pagi Khamis lalu kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan itu.

Hasil pemeriksaan ke atas mereka, polis merampas lima buah telefon bimbit beserta kad sim, ujar beliau

“Polis juga telah mengenalpasti beberapa orang suspek yang terlibat dalam insiden pergaduhan itu dan usaha mengesan serta menangkap kesemua suspek sedang giat dijalankan.

“Kita yakin saki baki suspek yang masih bebas dan dikehendaki itu dapat ditangkap secepat mungkin untuk membantu siasatan,” jelasnya.

Ahmad Ridhwan berkata, kesemua lima suspek yang ditangkap itu berusia 20 hingga 25 tahun dan mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, mereka kini direman dan ditahan di lokap Balai Polis Banting untuk disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan merusuh yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette