Hasni pemilihan
Hasni Mohammad

SIMPANG RENGGAM – Dr Maszlee Malik tidak wajar menjanjikan agendanya untuk menjadikan Simpang Renggam sebagai hab pendidikan kepada pengundi-pengundi.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hasni Mohammad yang membidas perkara itu berkata, janji-janji seperti itu memang mudah diungkapkan dibibir demi meyakinkan pengundi, lebih-lebih lagi dengan mengatakan “jika” beliau dipilih semula sebagai ahli Parlimen.

Hakikatnya, kata beliau, penyandang kerusi parlimen Simpang Renggam itu pernah menjadi menteri ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara namun apa yang dikatakannya itu tidak pun berlaku.

“Saya rasa tak wajar itu dijanjikan kepada pengundi di Simpang Renggam…kalau jadi menteri, kalau jadi itu kalau jadi ini. Dia dah jadi menteri pun sebelum ini, apa yang dia dah buat,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan walkabout bertemu pengundi di Taman Desa Sejahtera di sini, hari ini.

Menurut Hasni, membangunkan infrastruktur dan logistik di kawasan berkenaan merupakan satu perkara yang lebih penting demi kesejahteraan warga Simpang Renggam.

Menerusi dua elemen itu, beliau berkata, ia boleh dihubungkaitkan dengan pembangunan dan pelbagai program yang sudah pastinya tidak mengetepikan pendidikan.

Terdahulu hari ini, Maszlee ketika ditemui MalaysiaGazette memaklumkan, beliau berhasrat mahu meneruskan agenda mewujudkan hab pendidikan di Simpang Renggam sekiranya beliau diangkat semula sebagai ahli Parlimen di kawasan itu.

Maszlee berkata, hab itu kekal menjadi fokusnya demi kebajikan anak-anak muda di kawasan itu.

Dengan impian mahu melihat warga Simpang Renggam berpendidikan tinggi, Maszlee berharap dapat membangunkan sebuah universiti ataupun sekurang-kurangnya sebuah politeknik di Simpang Renggam. – MalaysiaGazette

Maszlee mahu Simpang Renggam jadi hab pendidikan